Misbahudin menunjukkan bekas lutsinar seperti bekas kuih raya yang digunakan untuk seludup ganja di Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Balang lutsinar yang biasanya dijadikan bekas kuih raya kini dijadikan tempat menyimpan bungkusan ganja.

Itu taktik yang dikesan Jabatan Kastam Johor dan berjaya merampas 24 kilogram (kg) dadah jenis ganja di sekitar Johor Bahru bernilai RM82, 874.

Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor, Misbahudin Parmin berkata, ia hasil risikan cawangan narkotik negeri itu pada  11 April lalu di dua lokasi.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas bungkusan-bungkusan itu pihak kami menjumpai 10 ketulan mampat yang disyaki dadah jenis ganja yang disembunyikan di dalam bekas-bekas kuih yang mengandungi kuih raya.

“Hasil dari risikan itu juga pihak kami berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 27 tahun yang merupakan suspek utama yang menghantar bungkusan berkenaan dan telah ditahan bagi membantu siasatan.

“Susulan dari tangkapan lelaki berkenaan telah membawa pasukan ke sebuah lagi rumah kediaman di mana bungkusan-bungkusan tersebut disyaki ingin dihantar untuk penerima,” katanya dalam sidang media hari ini.

Misbahudin berkata, tangkapan ke atas suspek kedua yang merupakan lelaki tempatan berusia 29 mendapati hasil saringan air kencingnya adalah positif.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 aitu memiliki dadah berbahaya dan jika sabit kesalahan pesalah boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) Akta Dadah
Berbahaya 1952 dan dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika disabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman mati atau dipenjara seumur hidup dan hendaklah sekiranya tidak dihukum mati, dihukum dengan tidak kurang daripada 15 sebatan.- MalaysiaGazette