KUALA LUMPUR – Pasukan sherpa dijangka membawa turun jenazah Lt. Kol (PA) Ag Askandar Ampuan Yaacub,dari Camp 4 ke Base Camp pada jam 2 petang (waktu tempatan) hari ini.

Pihak Kedutaan Malaysia di Kathmandu juga memaklumkan bahawa jenazah Ag Askandar akan dibawa turun dari Base Camp ke Kathmandu pada keesokan hari apabila keadaan cuaca mengizinkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali memaklumkan perkara itu selepas mengadakan sidang video bersama Datuk Mohammad Ali Selamat, Setiausaha Bahagian Konsular Kementerian Luar Negara dan Mohd Fazle Abu Hasan, Counsellor/Charge d` Affaires, Kedutaan Malaysia di Kathmandu.

Menurutnya, perkembangan terkini itu telah dimaklumkan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Tambah beliau, mangsa adalah Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah yang berasal dari Kampung Benoni, Papar.

“Ketua Menteri Sabah memberikan komitmen bahawa Kerajaan Negeri akan membantu menampung kos tambahan yang diperlukan di luar tanggungan insurans bagi pengurusan jenazah Allahyarham Lt. Kol (PA) Ag Askandar untuk memastikan jenazah dapat dikebumikan di kampung halaman di Papar, Sabah sebagaimana hasrat ahli keluarga.

“Begitu juga Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah menyalurkan sumbangan untuk tujuan menambah tanggungan kos pengurusan. Pada masa yang sama, mana-mana pihak yang berhasrat untuk menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui Yayasan Kebajikan Sabah (YKS). Keprihatinan Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri Sabah amatlah dihargai,” katanya. – MalaysiaGazette