JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor akan terus memantau cuaca panas sekarang sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi sebarang kemungkinan berlaku.
Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani menyatakan orang ramai tidak harus risau kerana sehingga hari ini, keadaan masih terkawal dan empangan masih berada pada paras normal.
Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, langkah keselamatan dari aspek kesihatan diberi perhatian utama bagi mengurangkan impak fenomena cuaca melampau.
“Mengambil kira peningkatan suhu berikutan fenomena cuaca panas melampau, kerajaan Johor sudah mengambil langkah pencegahan bagi mengurangkan impak kepada masyarakat.
“Kerajaan Johor bekerjasama rapat dengan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) termasuk memantau keadaan pesakit yang dirujuk serta dirawat di semua premis kesihatan di negeri ini.
“Setakat ini keadaan di hospital dan klinik kesihatan di negeri ini terkawal dan tiada laporan membimbangkan akibat kes disebabkan fenomena cuaca panas melampau.
“Bagaimanapun, Pejabat Kesihatan Daerah kini giat membuat pemantauan termasuk menasihatkan orang ramai mengehadkan aktiviti luar.
“Keadaan empangan di Johor juga masih dalam keadaan terkawal dan pemantauan rapi dibuat terhadap semua 14 empangan selain Loji Rawatan Air (LRA) dan intake sungai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Yayasan Warisan Johor (YWJ) hari ini di Jalan Air Molek hari ini.
Terdahulu kerajaan sedia mengisytiharkan darurat jika cuaca panas di negara ini mencapai tahap suhu melampau.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berkata, arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan diaktifkan berhubung pengisytiharan darurat, sekiranya cuaca panas melampau berterusan.- MalaysiaGazette