Antara pembantu rumah warga Indonesia yang diselamatkan IJIM dalam serbuan sindiket eksploitasi pembantu rumah di Temerloh, Pahang.

PUTRAJAYA – Satu sindiket yang mengaut keuntungan hampir RM1 juta setahun melalui kegiatan haram mengeksploitasi pembantu rumah dan pekerja pembersihan berjaya ditumpaskan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, sindiket berkenaan berjaya dilumpuhkan dalam operasi khas yang pada 16 Mei yang lalu di beberapa lokasi di sekitar Temerloh, Pahang.

Katanya, operasi bermula pukul 7 malam itu telah menyerbu dua buah premis.

“Hasilnya, pasukan operasi berjaya menyelamatkan seramai 10 orang wanita warganegara Indonesia berumur lingkungan 23 hingga 50 tahun yang memiliki Pas Lawatan Sosial (PLS) tamat tempoh.

Antara pembantu rumah warga Indonesia yang diselamatkan JIM dalam serbuan sindiket Eksploitasi pembantu rumah di Temerloh, Pahang.

“Siasatan awal mendapati, kesemua mereka dipercayai menjadi mangsa eksploitasi sindiket dengan bekerja sebagai pembantu rumah harian dan pekerja pembersihan.

“Pasukan operasi turut menahan seorang wanita warganegara Indonesia berumur lingkungan 30 tahun yang dipercayai sebagai penjaga kepada semua mangsa tersebut yang turut memiliki PLS yang telah tamat tempoh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Ruslin lagi, pihaknya juga telah melakukan serbuan kedua di sebuah premis agensi pekerjaan sebelum seorang wanita berusia 40 tahun ditahan.

Katanya, semakan mendapati wanita berkenaan merupakan pemilik syarikat agensi pekerjaan yang membawa masuk kesemua warga asing tersebut dan menguruskan sindiket berkenaan.

“Imigresen mendapati modus operandi sindiket iniĀ  menggunakan wanita warganegara asing untuk bekerja sebagai pembantu rumah harian dan pekerja pembersihan di rumah majikan yang telah ditentukan oleh sindiket.

“Pemilik rumah yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan tersebut akan menghubungi agensi pekerjaan dan akan mengatur tarikh juga waktu bekerja termasuk menghantar serta mengambil mereka setelah selesai bekerja.

“Melalui pengakuan lisan daripada kesemua mangsa wanita warga asing itu mendapati mereka tidak pernah menerima gaji secara tunai daripada sindiket tersebut selain kebebasan mereka turut disekat seperti kemudahan cuti bekerja dan juga penggunaan telefon bimbit bagi menghubungi ahli keluarga di negara asal,” ujarnya.

Bayaran bagi mendapatkan perkhidmatan pembantu rumah harian ini daripada sindiket terbabit adalah antara RM150 hingga RM250 sehari.

Siasatan juga mendedahkan sindiket berkenaan telah beroperasi sejak lebih dua tahun dan dipercayai mengaut keuntungan kira-kira RM900,000 setahun hasil bayaran mendapatkan pembantu rumah harian dan pekerja pembersihan.

Kesemua warga asing itu telah dibawa dan ditempatkan di Depot Imigresen Putrajaya untuk tindakan dan siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Manakala wanita tempatan pemilik agensi pekerjaan yang ditahan telah dibebaskan dengan jaminan polis setelah selesai soal siasat dan dirakam keterangan daripada mereka,” kata kenyataan yang sama.

JIMĀ  akan meneruskan operasi penguatkuasaan dan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan
Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.- MalaysiaGazette