KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia menjangkakan kerja-kerja membaikpulih 29 sekolah di sini yang terjejas akibat ribut dapat diselesaikan dalam tempoh sekurang-kurangya tiga bulan dari sekarang.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, dengan peruntukan sebanyak RM6 juta, pihaknya berharap kerja-kerja pembaikan dapat dijalankan dengan segera bagi mengelakkan proses pembelajaran kanak-kanak terjejas.
“Keadaan sekolah ini paling teruk dan kami dapati sudah ada langkah yang diambil oleh Jabatan Pendidikan untuk 29 sekolah yang terlibat dalam Wilayah Persekutuan ini.
“Selain tindakan susulan yang telah dibuat oleh Jabatan Pendidikan, kita berharap kerja-kerja pembaikan ini dapat disegerakan dalam tempoh cuti sekolah ini.
“Ini kerana ia akan beri kesan yang cukup besar kepada anak-anak kita yang bersekolah.
“Yang terlibat adalah kelas-kelas kanak-kanak dan ini boleh menjejaskan pendidikan mereka kerana mereka tak boleh masuk atas faktor keselamatan,” katanya pada sidang media di Sekolah Kebangsaan Setapak, di sini, hari ini.
Sementara itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pula berkata, pihaknya akan membantu dari segi memberi penilaian teknikal sebelum sesuatu bangunan itu selamat diduduki atau digunakan semula.
“Dalam kejadian ini, KKR diberitahu pada mula kita ada 15 sekolah lepas itu 22, tapi hari ini 29 buah sekolah yang terkesan.
“Kita memantau dan menasihat kementerian lain sama ada selamat atau tidak supaya semua kerja-kerja baik pulih boleh kita selaraskan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette