KUALA LUMPUR – Majlis Pelaburan Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju untuk memperkasakan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sebagai agensi penggalakan pelaburan utama negara.
Ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menyusun semula ekosistem Agensi Penggalakan Pelaburan ( IPA) negara yang akan dimulakan dengan penyelarasan fungsi dan peranan IPA serta koridor ekonomi wilayah berkaitan pelaburan secara berfasa.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, selaku badan eksekutif tertinggi dalam merencanakan agenda berkaitan pelaburan, MPN juga bertanggungjawab untuk menangani isu dan cabaran utama dalam pelaksanaan projek-projek pelaburan, terutamanya pelaburan strategik dan berimpak tinggi bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek-projek tersebut.
Dari segi pemerkasaan MIDA sebagai agensi penggalakan pelaburan utama negara, pengukuhan fungsi penyelenggaraan akaun dan pemusatan pelaporan maklumat terkini pelaburan di bawah satu platform atau dashboard tunggal juga akan menangani isu-isu pelabur secara tangkas serta menyokong penggubalan dasar untuk pembangunan industri, insentif galakan pelaburan dan memudahcara perjalanan pelabur serta fasilitasi pelaburan yang berkesan.
Jelasnya, hasrat ini selaras dengan teras strategik di bawah Dasar Pelaburan Baharu (NIP) berteraskan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) yang menggariskan keperluan
untuk menambahbaik landskap IPA negara agar lebih terancang sekali gus memudahkan perjalanan pelabur.
“Sehubungan itu, keputusan menjadikan MIDA sebagai agensi penggalakan pelaburan utama negara adalah juga sebahagian daripada usaha MPN untuk menambah baik dan memperkasakan ekosistem serta landskap pelaburan negara bagi memastikan pendekatan menyeluruh kerajaan dari segi aktiviti penggalakan pelaburan negara secara lebih tersusun, efisien, berfokus, berstruktur dan
sistematik.
Selain itu, memastikan Malaysia dapat mengoptimumkan sumber sedia ada bagi mengatasi isu pertindihan tanggungjawab di antara IPA sekaligus menjamin penyampaian perkhidmatan IPA yang lebih berkesan, memastikan tadbir urus IPA yang lebih tersusun kerana ia juga merupakan faktor penting bagi pelabur membuat keputusan dan menilai Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan.
Meningkat dan mengekalkan pelaburan langsung asing (FDI) dan juga pelaburan langsung domestik (DDI), memastikan FDI dan juga DDI membawa kepada kesan limpahan positif
kepada ekonomi dan rantaian bekalan domestik, PKS tempatan serta rakyat Malaysia selaras dengan objektif NIA. – MalaysiaGazette