Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyasarkan nilai pembiayaan lebih RM100 juta akan dinikmati oleh pembeli rumah di bawah projeknya melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai dengan Bank Simpanan Nasional (BSN).

SHAH ALAM – Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyasarkan nilai pembiayaan lebih RM100 juta akan dinikmati oleh pembeli rumah di bawah projeknya melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai dengan Bank Simpanan Nasional (BSN).

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mahmud Abbas berkata, sasaran tersebut untuk tempoh setahun pertama selepas kerjasama dijalinkan kedua-dua pihak.

Menurut beliau, MoU itu merupakan usaha untuk menarik bakal pembeli memiliki rumah idaman dalam masa yang sama mendapat pelbagai kemudahan pembiayaan yang ditawarkan oleh BSN.

“PKNS sentiasa berusaha untuk memenuhi keperluan rakyat khususnya di negeri Selangor yang datang daripada pelbagai latar belakang dan klasifikasi pendapatan menerusi pembinaan perumahan yang mampu dimiliki.

“Justeru PKNS sentiasa mencari ruang untuk menjalin kerjasama dengan institusi perbankan dan rakan korporat bagi memenuhi keperluan pembeli rumah.

“Di samping itu, PKNS berhasrat meningkatkan tahap pemilikan kediaman kepada lebih ramai masyarakat terutamanya golongan belia dan pembeli rumah pertama,” katanya kepada media di majlis memeterai MoU bersama BSN di sini hari ini.

Ujar Mahmud, pelanggan PKNS berpeluang memenangi hadiah kelengkapan rumah berharga sehingga RM50,000 yang ditawarkan oleh BSN kepada pemenang cabutan yang dijalankan setiap bulan.

Katanya, pengalaman lebih lima dekad PKNS sebagai penyedia pelbagai produk hartanah mampu membantu memberikan lebih pilihan sekaligus membantu merealisasi objektif terbabit.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif BSN, Jay Khairil pula berkata, tawaran-tawaran institusi kewangan itu tercetus daripada keadaan semasa majoriti pembeli rumah dalam negara.

“Oleh itu, BSN menyediakan kemudahan pembiayaan perumahan dengan margin sehingga 100 peratus merangkumi kos lain seperti perlindungan takaful gadai janji, yuran guaman serta yuran penilaian dengan tempoh sehingga 35 tahun atau sehingga usia pemohon mencecah 70 tahun,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast