Polis berjya menahan pasangan kekasih yang cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis di Kajang semalam.

KAJANG – Tindakan pasangan kekasih melarikan diri dengan bekalan dadah menyebabkan lima kenderaan awam rosak dilanggar kereta yang mereka naiki di Bangi semalam.

Sebelum itu, kereta mereka dikejar polis di kawasan Kajang Utama di sini sehingga Jalan Persiaran Bandar Baru Bangi, Seksyen 9.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, dalam kejadian jam lebih kurang pukul 12.30 tengah hari itu, anggota kereta perondanya terserempak sebuah kereta Proton Satria yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.

“Anggota polis bertugas telah meminta pemandu kereta terbabit memberhentikan kenderaan untuk pemeriksaan sebelum suspek memecut laju dengan keretanya melalui Jalan Kajang Utama memasuki Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (Silk) dan menghala ke Plaza Tol Sungai Ramal sehingga melanggar palang tol.

“Suspek kemudian cuba melarikan diri dengan memandu secara melulu melalui Lebuhraya Silk dan masuk semula ke Jalan Ikram UNITEN sehingga kereta itu dapat dihentikan daripada bergerak di kawasan Jalan Persiaran Bandar Baru Bangi dengan bantuan beberapa kenderaan peronda polis lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Zaid, siasatan mendapati kereta dipandu suspek itu melanggar beberapa kenderaan awam di jalan raya dan sebuah kereta peronda polis semasa kejadian yang sama.

Menurutnya, kereta suspek dipandu secara berbahaya dengan memasuki di celah-celah kenderaan lain sehingga mengakibatkan kemalangan.

Jelas beliau, empat anggota polis dari Cawangan Kereta Peronda Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang yang berada di lokasi berjaya menahan pemandu kereta iaitu seorang wanita dan penumpang lelaki disyaki pasangan kekasih.

Beliau berkata, kedua-dua suspek berusia 26 dan 38 tahun itu kemudian dibawa ke Balai Polis Bandar Bangi untuk  siasatan lanjut.

“Polis mendapati dalam insiden kejar mengejar itu, sebanyak lima kenderaan dikenal pasti terbabit dalam kemalangan semasa kejadian termasuk sebuah kenderaan polis namun tiada kemalangan jiwa direkodkan.

“Semasa pemeriksaan dilakukan terhadap suspek di dalam kenderaan polis telah menemui beberapa hablur kristal anggaran berat 2.1 gram dipercayai dadah jenis syabu,” katanya sambil mengesahkan pasangan itu positif dadah jenis methamphetamin.

Tegasnya, semakan lanjut juga mendapati pasangan kekasih itu masing-masing mempunyai dua dan empat rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan kini direman selama tiga hari sehingga 24 Mei ini untuk membantu siasatan lanjut.

Dalam kes itu, polis membuka tiga kertas siasatan di bawah Seksyen 186 Kanun Kesekaaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, kesalahan memiliki dadah dan memasukkan dadah dalam badan di bawah Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama serta Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara merbahaya.- MalaysiaGazette