Ibu Pejabat Polis Bukit Aman

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang dipercayai pemilik dan pengendali akaun Tiktok @cheartstudi ditangkap polis di Kuala Muda, Kedahkelmarin kerana disyaki memuatnaik hantaran yang mempunyai kecenderungan menghasut.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Deputi Komisioner Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, pemeriksaan lanjut ke atas suspek berusuia 51 tahun itu membawa kepada rampasan sebuah telefon bimbit bersama sekeping kad sim.

Menurut beliau, suspek disyaki telah memuat naik hantaran yang boleh mendatangkan penghinaan atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap pentadbiran di Malaysia.

Katanya, permohonan reman terhadap suspek telah dikemukakan di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dan individu itu dibenarkan reman selama tiga hari sehingga 23 Mei ini bagi membantu siasatan polis.

“Kes sedang disiasat dan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut Noorsiah, siasatan ke atas suspek dikendalikan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan perkhidmatan atau rangkaian perkhidmatan. – MalaysiaGazette