KUALA LUMPUR – Tiga komponen utama akan difokuskan oleh Majlis Pekerjaan Negara (NEC) dalam usaha menangani isu pengangguran negara di negara ini.
Ia melibatkan penciptaan pekerjaan, program penempatan, latihan dan peningkatan kemahiran serta menangani isu struktur pasaran buruh, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Menurutnya, bagi tujuan itu sebanyak 49 inisiatif berkaitan pekerjaan akan dilaksanakan NEC membabitkan 63 agensi pelaksana dibawah Belanjawan 2023.
Malah ia akan dipantau secara aktif oleh LAKSANA yang bertindak sebagai Sekretariat NEC.
“Di samping itu, 12 daripada 32 fokus inisiatif yang digariskan di bawah Pelan Penciptaan Pekerjaan Nasional akan turut mula dilaksanakan dalam usaha menangani isu struktur pasaran buruh.
“NEC juga bersetuju dengan sasaran 119,964 penciptaan pekerjaan yang akan direalisasikan melalui pelaburan langsung asing dan domestik bagi 2023,” katanya menerusi kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat NEC yang berlangsung di Parlimen hari ini.
Mesyuarat berkenaan turut dimaklumkan mengenai kedudukan pasaran buruh pada suku pertama 2023 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Turut dibincang pada mesyuarat tersebut iaitu tiga kertas pembentangan berkait pindaan Akta Kerja 1955 oleh Kementerian Sumber Manusia, hasil dapatan Persidangan Kurikulum Kebangsaan 2022 oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan pengenalan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) oleh Kementerian Ekonomi (KE).
Jelas Fadillah, berdasarkan komitmen serta perpaduan yang ditunjukkan semua pihak yang terbabit, kerajaan yakin strategi digariskan NEC akan dapat meneruskan momentum dalam memperkasa ekonomi negara, meningkatkan penciptaan peluang pekerjaan serta mengurangkan kadar pengangguran.
“Selain itu, kerajaan memandang serius isu berkaitan seperti kekurangan pekerja dalam sektor tertentu, kesaksamaan peluang pekerjaan, perlindungan sosial bagi pekerja dan isu kebolehpasaran graduan dan akan terus berusaha untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat dengan menyasarkan penawaran peluang pekerjaan melalui inisiatif dibawa kerajaan,” tambahnya yang juga merupakan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi.
Katanya lagi, NEC akan terus memberi penekanan dalam memastikan setiap keputusan Majlis dan inisiatif pekerjaan dipantau rapat pelaksanaannya bagi memastikan keberhasilan yang optimum dapat dicapai.
“Dalam hubungan ini, sekretariat yang diterajui LAKSANA harus terus memainkan peranan untuk memantau, menilai dan mencadangkan langkah intervensi yang bersesuaian bersama-sama Agensi Pelaksana untuk dilapor dan dipertimbangkan oleh Majlis,” ujarnya. – MalaysiaGazette