PERMATANG PAUH – Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang berazam membantu Pakatan Harapan (PH) mengekalkan majoriti dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membentuk Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Ketua Bahagian UMNO Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said berkata, bagi merealisasikan kemenangan itu, UMNO harus diberi peluang untuk bertanding di salah satu kerusi DUN di bawah Parlimen Permatang Pauh.

Jelas beliau, Kerajaan Perpaduan hari ini perlu menunjukkan mereka berjiwa besar dengan memberi laluan kepada UMNO bertanding.

Namun sekiranya ia gagal, Mohd Zaidi bimbang akan memberikan gambaran tiada tempat untuk orang Melayu di negeri ini.

“Rundingan kerusi masih berjalan antara PH dan BN cuma dari awal pendirian saya konsisten yang mana kita harap satu kerusi DUN dalam Permatang Pauh diberikan kepada UMNO untuk ditandingi pada PRN nanti.

“Ini kerana di Permatang Pauh kita ada 18,000 ahli UMNO dan fakta menunjukkan kita sentiasa mendapat undi sekurang-kurangnya 20,000 ini sekali gus menunjukkan kita ada penyokong tegar di sini.

“Sekiranya tidak diberi peluang bertanding ia merupakan satu penghinaan buat UMNO yang sudah lama berjuang di Permatang Pauh meskipun ia kubu kuat Parti Keadilan Rakyat (PKR),” katanya ketika ditemui hari ini.

Menurut Mohd Zaidi, sebagai parti yang ada dalam Kerajaan Perpaduan, pihaknya terima apa jua keputusan dibuat pucuk pimpinan namun mengharapkan ia berlandaskan kesaksamaan dan perpaduan yang dilaungkan mengikut Konsep Madani.

Kata beliau, pucuk pimpinan PH dan BN perlu membuat keputusan yang tepat dalam memberi ruang kepada calon UMNO agar matlamat PH Pulau Pinang memastikan Perikatan Nasional (PN) zero terhasil.

“UMNO ada beberapa tempat yang jadi sumber kekuatan orang Melayu termasuklah di Permatang Pauh ini. Apa yang saya nampak ahli UMNO setia pada parti dalam keadaan apa sekali pun.

“Jadi kalau ahli setia ini beri undi kepada calon-calon bawah Kerajaan Perpaduan Insya-Allah kita boleh kekal dua pertiga tetapi jika tidak diberi peluang agar sukar UMNO nak kawal pastikan undi ahli kepada calon PH.

“Saya harap dan yakin pucuk pimpinan di peringkat pusat serta negeri faham situasi di Permatang Pauh. Oleh itu, UMNO perlu diberi peluang untuk bertanding waima satu kerusi,” katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas sama ada UMNO Permatang Pauh ada calon untuk dipertandingkan pada PRN, Mohd Zaidi menjelaskan, pihaknya akan mengemukakan calon muka baharu untuk menjadi suara di DUN.

“Saya ulangi pendirian tidak akan bertanding dan kita ada calon muka baharu untuk berentap digelangan PRN.

“Jika DUN Penanti menjadi pilihan PH kita akan tempatkan calon muka baru ini di DUN Seberang Jaya yang mana ADUN berkenaan merupakan calon lompat parti tapi kita tak kisah jika diberikan mana-mana tempat lain,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Harap RAMASAMY dan Rayer ajar akujanji kepada UMNO kerusi SEMASA yang dimenangi sahaja UMNO diberi ikhsan bertanding. Jangan biarkan NAFSU SERAKAH UMNO bermula. jika diberi SATU PASTI PRU16 dia akan MEMAKSA.
    PH perlu lakukan postmortem JASAD UMNO yang NAZAK dan menolaknya ke PETI SEJUK. Permatang Pauh TIDAK BERSETUJU… seharusnya yang kalah menyokong akur kepada yang menang… itulah dikatakan kerjasama.
    UMNO ada agenda MEROSAKKAN sokongan rakyat dalam PRN 6 NEGERI.
    PH telah berjaya sempurna membungkus UMNO sebelum ini.. moralnya UMNO adalah virus perosak.
    goodbye Zahid Hamidi
    Sayonara

Comments are closed.