Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh perlu mempunyai jiwa besar dan perlu ada sikap ‘memiliki’ terhadap kegagalan Malaysia dalam Sukan SEA di Kemboja baru-baru ini.

Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berpendapat, Hannah tidak seharusnya menggunakan alasan ketidakstabilan politik dan pertukaran beberapa menteri menyebabkan Malaysia mencatatkan keputusan terburuk dalam sejarah Sukan SEA.

Menurut Khairy beliau turut berhadapan dengan kegagalan Malaysia dalam Sukan Komanwel di Glasgow dan Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan pada 2014 selepas beberapa bulan menjadi Menteri Belia dan Sukan.

“Dua-dua kita tak capai sasaran. Boleh sahaja saya kata saya menteri baru setahun tak sempat ada pusingan dua tiga tahun nak buat perancangan rapi.

“Tapi saya telah memiliki kegagalan tersebut dan meminta maaf. Saya tak perlu meminta maaf tapi saya masih ingat saya tulis dalam Facebook sebagai menteri dan tak ada kaveat kata saya menteri tak sampai setahun, saya kata saya menteri dan minta maaf serta ambil tindakan,” kata Khairy.

Beliau berkata demikian dalam podcast Keluar Sekejap yang dihoskan secara bersama dengan Shahril Hamdan.

Khairy Jalamuddin dan Shahril Hamdan dalam Keluar Sekejap

Berikutan kegagalan itu Khairy telah mengambil keputusan sukar dengan menukar Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara dengan segera.

Malaysia kemudian mencatatkan keputusan cemerlang dalam Sukan Olimpik di Rio, Brazil pada 2016 dan Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.

“Dalam hal ini menteri sepatutnya sekurang-kurangnya tidak mengeluarkan kenyataan seperti itu.

“Saya faham apa yang dia kata oleh kerana ada perubahan dari segi dasar terlalu ramai menteri dalam tempoh beberapa tahun ada gangguan.

“Saya bersetuju dengan beliau mungkin ada sedikit sebanyak kesan tapi nak kata disebab ketidakstabilan politik kenyataan yang mengundang kecaman orang ramai. Bagi saya, saya ambil tanggunggawab,” katanya.

Khairy bagaimanapun bersetuju dengan keputusan Hannah untuk menghantar atlet muda kerana ia adalah polisi yang turut digunakan oleh beliau ketika menjadi Menteri Belia dan Sukan.

Sementara itu Shahril turut berpandangan Hannah sepatutnya ‘memiliki’ kegagalan Malaysia di Sukan SEA di Kemboja.

“Awak sepatutnya ‘memiliki’ kegagalan itu. Tidak mengapa bila kita mengakui kegagalan orang akan faham anda baru jadi menteri, baru lima enam bulan. Tiada siapa-siapa harapkan keajaiban daripada anda.

“Keputusan yang mengecewakan ini bukan hanya atas bahu seorang menteri yang baru lima enam bulan. Kita boleh faham.

“Tapi bila seolah-olah langsung tidak mahu memimpin atau memiliki keputusan ini dan menggunakan hujah yang kurang masuk akal dan kurang relevan ia hanya menambah sedikit kemarahan daripada rakyat,” katanya.

Hannah dalam sidang media pada 19 Mei lalu dilaporkan berkata, ketidakstabilan politik negara sejak lima tahun kebelakangan ini turut memberi impak kepada kegagalan kontinjen negara di pentas Sukan SEA Kemboja 2023.

Ia memandangkan segala perancangan, peruntukan mahu pun persiapan terjejas disebabkan struktur politik negara yang sering berubah.

Malaysia menutup tirai temasya dwitahunan di Phnom Penh dengan membawa pulang 34 emas, 45 perak dan 96 gangsa untuk berada di tangga ketujuh keseluruhan sekali gus gagal mencapai sasaran diletakkan iaitu 40 emas.

Pencapaian itu adalah yang terburuk buat negara di Sukan SEA dan pungutan emas paling rendah dalam tempoh 20 tahun sejak di Hanoi, Vietnam 2003.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast