Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 22 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perpaduan akan meminda peraturan lama dalam semua peraturan berkait rapat dengan isu kalimah Allah, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jelasnya, segala langkah itu bagi memperkemaskan apa-apa sahaja kekeliruan yang mendatang pada masa hadapan.

“Sekarang ialah melihat keseluruhannya semua peraturan sama ada Akta Mesin Cetak, arahan KDN, keputusan jemaah menteri yang lalu, sekiranya menimbulkan kekeliruan jadi apa yang kita lakukan sekarang memperkemaskan dan saya kemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong yang kemudian baginda perkenankan.

“Sekarang kita ambil semua peraturan yang lama sebahagiannya harus dipinda dan kemudiannya dibatalkan tetapi yang penting hari ini kerajaan sekarang memutuskan supaya tunduk sepenuhnya kepada keputusan Raja-raja supaya tidak ada kekeliruan dan kekhilafan,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Mohd. Isam Mohd. Isa (BN-Tampin) yang mahu tahu apakah langkah yang diambil kerajaan bagi mengelak perkara sama berulang.

Anwar sebelum ini menjawab pertanyaan asal daripada Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) yang ingin tahu sama ada Kerajaan Perpaduan mendapatkan perkenan Majlis Raja-raja Melayu dan berunding dengan Majlis Agama Islam Negeri-negeri terlebih dahulu sebelum kerajaan secara diam-diam menarik balik rayuan dalam kes kalimah Allah yang begitu besar implikasinya terhadap kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Pada 15 Mei, kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri telah menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah, Baitullah, Kaabah dan solat dalam penerbitan bahan agama bagi tujuan pembelajaran.

Jelas Anwar, keputusan untuk menarik balik rayuan itu adalah untuk langkah memperkemaskan semua peraturan itu.

“Atas pandangan peguam negara adalah untuk perkemaskan (semua peraturan). Kalau tidak, kita buat rayuan, kes berbangkit lagi kerana ada percanggahan. Jadi sebab itu kita tamatkan dengan pinda semua peraturan supaya jelas dan tidak ada kes boleh dibawa ke mahkamah. Bagi saya, ini lebih jelas ada kekuatan. Apa yang lemah?

“Kita tarik untuk perbetulkan. Maka tak ada mahkamah boleh buat keputusan bercanggah dengan keputusan yang dibuat sekarang. Jadi semua peraturan, termasuk KDN yang nampak lemah dan beri ruang untuk dibawa ke mahkamah, kita akan pinda dan batalkan,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sudah memperkenan kertas jemaah menteri untuk dirujuk ke Majlis Kemajuan Islam yang akan dipengerusikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

“Kita (kerajaan) akan rujuk Majlis Kemajuan Islam yang dipengerusikan Sultan Selangor akan berikan beberapa pandangan memperkemaskan peraturan ini supaya keputusan muktamad tidak boleh dipakai di Semenanjung dan boleh diberikan ruang dan syarat tertentu Sabah dan Sarawak.

“Ia akan dibentangkan dalam Mesyuarat Raja-raja Melayu Julai depan,” jelas Anwar lagi.

Anwar dalam pada itu turut menafikan dakwaan pembangkang bahawa kerajaan tidak berunding dengan Majlis Raja-Raja sebelum menarik balik rayuan terhadap keputusan mengenai hak seorang wanita Sarawak menggunakan kalimah “Allah” dalam pembelajaran agamanya.

Perkara itu dirujuk kepada Yang di-Pertuan Agong, yang kemudian meminta kerajaan memastikan semua keputusan mesti selari dengan pendirian diambil raja-raja, iaitu ‘Allah’ tidak boleh digunakan oleh bukan Islam di Semenanjung, tetapi penggunaan bersyarat dibenarkan.

“Yang jadi masalah sekarang ialah arahan pentadbiran KDN yang dibust sebelum ini pada 1986 bercanggah dengan keputusan Majlis Raja-raja.

“Jadi sekarang apa yang dilakukan, tidak timbul bercanggah dengan keputusan Majlis Raja-raja, tidak ada maksud untuk berikan peluang kepada yang bukan Islam seperti mana yang didakwa.

“Saya fikir tidak munasabah untuk digunakan dan dipolitikkan isu ini, pendirian kerajaan hari ini dalam keputusan Jemaah Menteri memperakui keputusan yang dibuat oleh Majlis Raja-raja Melayu.

“Nama Allah tidak boleh digunakan di Semenanjung Malaysia (oleh bukan Islam), kelonggaran dengan syarat Sabah dan Sarawak, inilah keputusan yang dibuat menyebabkan tidak ada rayuan dalam kes pentadbiran, itu bukan sama sekali keputusan hakim itu sebut betul-betul,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. nak PRN ni…. tunjukkan sikit konon-konon memelihara Perlembagaan Malaysia dan Kuasa Raja-raja Melayu.
    main sorong tarik tu buatlah kalau dah menang PRN 6 NEGERI..
    janji nampak ok dan macam bagus..
    President Wak Welanon pun masih dihujung TANDUK sebab itu dia buat macam terencat akal.
    Sayonara untuk ZAHID HAMIDI akarumbi akan beralih arah

Comments are closed.