KUALA LUMPUR – Kajian dan pemeriksaan mengenai kesihatan mental perlu diadakan di peringkat sekolah secara berkala, kata Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Beliau berkata, ini kerana gangguan mental bermula sejak kecil yang berisiko semakin memburuk sehingga dewasa.
Jelasnya, pengesanan gangguan mental pada peringkat awal akan dapat membantu individu yang terbabit dengan masalah kesihatan tersebut.
“Contohnya dari trauma-trauma yang dihadapi sejak kecil yang menjadi gangguan sehingga dewasa.
“Program pemeriksaan kesihatan secara berkala perlu dimulakan
dari sekarang. Ini kerana kita mahu mereka yang mempunyai
masalah kesihatan mental ini sedar sejak dari awal, oleh itu kita
dapat bantu dari peringkat awal,” katanya ketika membahaskan pindaan Rang Undang-Undang Akta Kesihatan Mental 2001 (Akta 615) di Dewan Rakyat hari ini.
Sehubungan itu Noraini berpendirian bahawa pemeriksaan mental dijalankan secara berkala oleh kaunselor di sekolah.
Menurut beliau, langkah itu boleh dijalankan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dengan kerjasama Pendidikan (KPM).
“Ini adalah langkah holistik yang boleh dimainkan oleh pihak kerajaan melalui kaunselor di sekolah agar kesedaran terhadap kesihatan mental rakyat dapat dibentuk sejak dibangku sekolah lagi selain dapat mengesan secara awal mana-mana anak-anak kita yang mula mempunyai masalah kesihatan mental,” ujarnya.
Selain itu, beliau berkata, kaunselor berdaftar dalam negara perlu ditambah kerana jumlah terkini dilihat tidak memenuhi tuntutan kesihatan mental rakyat negara ini.
“Berdasarkan statistik Lembaga Kaunselor pada Ogos lalu, hanya terdapat 10,136 jumlah kaunselor berdaftar di Malaysia. Sedangkan negara memerlukan 60,000 orang kaunselor berdaftar bagi memenuhi tuntutan kesihatan mental rakyat Malaysia. Jumlah 10,136 itu terlalu sedikit dengan jumlah sebenar yang diperlukan iaitu satu kaunselor bagi setiap 500 rakyat Malaysia,” tambahnya.
Dalam masa yang sama, Noraini memohon KKM mempertimbangkan usaha meningkatkan kembali peruntukan untuk Program Psikiatri dan Kesihatan Mental seperti cadangan awal Bajet 2023.
Ujarnya, sebelum ini kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM413.58 juta untuk Program Kesihatan Mental dan Psikiatri yang kemudiannya dirombak semula menjadi RM335.97 juta.-MalaysiaGazette