Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan seorang penunggang motosikal yang dipercayai melarikan diri selepas merempuh sebuah kereta dipandu warga emas di Batu 6, Jalan Gombak Lama, dekat sini, pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, pihaknya terkesan rakaman video berdurasi 50 saat memaparkan kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kereta dengan sebuah motosikal yang telah tular di media sosial pada jam 8 malam, semalam.

Katanya, siasatan mendapati insiden itu berlaku pada jam 2 petang Ahad lalu jam semasa kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 87 tahun keluar dari Kampung Kerdas menuju ke arah Gombak.

“Apabila sampai di lokasi kejadian ketika kereta itu hendak keluar simpang itu, tiba tiba telah dirempuh oleh sebuah motosikal yang datang dari arah kanan.

“Perlanggaran itu menyebabkan kereta yang dipandu warga emas itu kemudian terbabas ke bahu kiri jalan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, penunggang motosikal yang merempuh kereta itu pula tercampak ke atas jalan raya dan lelaki itu tidak mengalami kecederaan.

Zainal Mohamed berkata, siasatan dilakukan di bawah Peraturan 3(2)(B) LN166/5943(1).

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Sarjan Azamil di talian 0196004104 atau 0361262222 atau menyalurkannya di balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette