Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bercakap kepada media ketika di Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 23 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Penjelasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung keputusan kerajaan  menarik balik rayuan penggunaan kalimah Allah disifatkan ‘jawapan politik’ oleh Peguam Negara.

Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendakwa ia merupakan respon Tan Sri Idris Harun secara langsung kepadanya di Dewan Rakyat hari ini.

Takiyuddin yang juga Ketua Whip Parlimen Perikatan Nasional (PN) menegaskan, pendedahan tersebut benar dan beliau berani mempertahankannya.

“Kita tak dengar kenyataan daripada Peguam Negara lagi, itu kita serah kepada Peguam Negara menjawab perkara ini. (Tetapi) Saya kebetulan tadi keluar dari dewan, saya berjumpa dengan Peguam Negara. Biarlah saya bertanggungjawab.

“Ini kenyataan saya dan saya tanya, “Macam mana Tan Sri?” (penjelasan berhubung penarikan rayuan). Dia (Idris) kata, kita dengarlah jawapan politik. Ini apa yang keluar daripada mulut Peguam Negara.

“Saya bertanggungjawab dengan kenyataan ini. Saya ada saksi pun yang keluar bersama saya tadi. Dia (Idris) kata datang dengar jawapan politik,” kata Takiyuddin pada sidang media di Lobi Parlimen, hari ini.

Terdahulu Anwar memaklumkan keputusan kerajaan menarik balik rayuan dalam kes kalimah ‘Allah’ selari dengan keputusan Majlis Raja-Raja dan Peguam Negara yang membuat keputusan sama kerana ia tidak bercanggah dengan Majlis Raja-Raja.

Beliau turut memaklumkan Kerajaan Perpaduan akan meminda peraturan lama dalam semua peraturan berkait rapat dengan isu kalimah Allah bagi memperkemaskan apa-apa sahaja kekeliruan berkenaannya pada masa hadapan.

Dalam pada itu, Takiyuddin menyifatkan tindakan seorang peguam yang sebelum ini mencadangkan rayuan terhadap kes berkenaan untuk menariknya semula adalah tidak munasabah.

“Logik atau tidak orang yang sama, yang dulu nasihatkan kerajaan masukkan rayuan, sekarang ini nasihat kerajaan untuk tarik balik rayuan. Munasabah tak?” soal Takiyuddin.-MalaysiaGazette