KUALA LUMPUR – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bercadang melaksanakan pemakaian armband atau lilitan lengan terhadap setiap warga kerjanya bagi mengkategorikan bidang tugas masing-masing.
Ketua Pesuruhjaya APM, Aminurrahim Mohamed berkata, pemakaian lilitan tangan itu akan memudahkan mereka dikenal pasti tentang peranan dan tanggungjawab ketika bertugas di lapangan.
Beliau berkata, perkara tersebut masih di peringkat kajian dan akan dimaklumkan kepada Kementerian Dalam Negeri.
“Ada juga pro dan kontra cadangan ini kerana dalam APM ada anggota bersekutu, anggota tetap dan anggota kehormat…mereka mempunyai peranan dan tanggungjawab yang berbeza.
“APM ada 21 fungsi termaktub dalam Akta 221 yang ada kluster, sub dan pelbagai lagi. Pemakaian armband itu nanti untuk menjelaskan kepakaran dan kemahiran yang pada seseorang pegawai atau anggota APM,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Penyampaian Watikah dan Penganugerahan Reben Perkhidmatan dan Kecemerlangan APM di Auditorium Utama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, jika seseorang itu mempunyai kemahiran dalam bidang perubatan, maka warna atau lilitan tangan yang dipakai berbeza dengan pegawai dalam bidang lain.
“Kita tidak mahu orang awam salah faham tentang APM dengan menganggap kerja agensi ini hanya menangkap ular semata-mata. Jika seseorang itu mempunyai kepakaran perubatan, maka dia tidak boleh sewenang-wenangnya melakukan kerja menangkap ular,” katanya.
Sementara itu, seramai 208 anggota dan pegawai APM serta orang awam menerima watikah serta anugerah reben perkhidmatan dan kecemerlangan bagi mengenang jasa khidmat bakti yang disumbangkan.
“Mereka yang menerima watikah dan anugerah ini akan lebih bermotivasi serta berkeyakinan dalam menjalankan tugas. Jasa mereka dihargai dan diharap akan meningkatkan semangat mereka,” katanya. – Bernama