nadir bumi haram
Aminuddin Harun (kemeja putih) di lokasi lombong nadir bumi haram di Kampung Sikai, Seri Menanti, Kuala Pilah, hari ini. (Gambar: Ihsan Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan)

SEREMBAN – Kerajaan Negeri Sembilan mengesan aktiviti disyaki perlombongan haram nadir bumi di Kampung Sikai, Seri Menanti di Kuala Pilah pada 16 Mei lalu.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, susulan aduan yang diterima Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah, siasatan bersepadu dijalankan bersama Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Sembilan serta Jabatan Mineral dan Geosains Negeri Sembilan dan Melaka dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut beliau, hasil siasatan mendapati wujud aktiviti perlombongan dengan menggunakan peralatan yang menjurus kepada perlombongan nadir bumi di atas dua lot tanah milik.

“Berdasarkan pemerhatian secara kasar, kaedah perlombongan yang dijalankan menggunakan proses larut resap in-situ iaitu kaedah perlombongan yang tidak memerlukan pembukaan kawasan yang besar untuk kerja-kerja pengorekan dan pengalihan tanah tetapi banyak menggunakan proses kimia.

“Melalui proses tersebut, cecair bahan kimia iaitu amonium sulfat digunakan untuk melarut resap dan mengekstrak nadir bumi dari dalam tanah melalui lubang yang telah digerudi dan disalurkan ke kolam tadahan.

“Beberapa sampel telah diambil oleh Jabatan Mineral dan Geosains Negeri Sembilan dan Melaka untuk dibuat analisis makmal,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

nadir bumi haram
Kolam tadahan yang digunakan untuk mengumpul nadir bumi di Kampung Sikai, Seri Menanti di Kuala Pilah. (Gambar: Ihsan Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan)

Aminuddin menambah, tindakan rampasan ke atas guni-guni yang mengandungi bahan disyaki berkaitan dengan aktiviti perlombongan nadir bumi serta jentera jentera yang digunakan telah dibuat.

Beliau memberitahu, kawasan terlibat juga telah disita untuk menghalang kerja-kerja perlombongan serta mengelakkan pencerobohan.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan oleh Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Sembilan bersama-sama agensi terlibat,” jelasnya.

Amiruddin berkata, kerajaan Negeri Sembilan mengesyaki bahawa kegiatan perlombongan haram itu dibuat secara skala besar dan satu tindakan penguatkuasaan bersepadu akan diambil.

Menurut beliau, kerajaan Negeri Sembilan memandang serius penemuan itu dan akan memastikan pihak terbabit dikenakan tindakan yang setimpal berdasarkan undang-undang sedia ada.

“Selain itu, kerajaan negeri menggesa semua pihak untuk menyalurkan maklumat dan aduan kepada pejabat daerah dan tanah serta Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Sembilan sekiranya terdapat sebarang aktiviti yang mencurigakan berkaitan perlombongan haram bagi mengurangkan ketirisan hasil negeri,” katanya. – MalaysiaGazette