MoU China
Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menafikan dakwaan kononnya terdapat beberapa syarikat tanpa rekod prestasi yang memeterai perjanjian persefahaman (MoU) semasa lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, tapisan latar belakang semua syarikat tempatan yang terlibat dilakukan sebelum MoU antara perniagaan dengan perniagaan itu dimeterai.

“Inikan pula nak buat kerjasama dengan syarikat asing dengan nilai projek yang cecah bilion ringgit lagilah kena semak.

“Sebab kalau bisnes tak jadi yang rugi nanti syarikat kita, bukan kerajaan,” katanya seperti dipetik daripada rakaman video yang disiarkan dalam YouTube hari ini.

Beliau menjawab persoalan yang ditimbulkan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani di Dewan Rakyat kelmarin yang mendakwa terdapat beberapa syarikat daripada 19 syarikat Malaysia yang menandatangani MoU di China baru-baru ini tidak mempunyai rekod prestasi.

Tengku Zafrul menambah, MoU tersebut telah melalui proses penilaian yang telus dan komprehensif dan ia telah diguna pakai sejak dahulu.

Menurut beliau, sebarang MoU melibatkan Malaysia dan negara asing yang bakal disaksikan oleh Perdana Menteri akan dinilai terlebih dahulu oleh Jawatankuasa Penilaian MoU.

Tengku Zafrul memberitahu, jawatankuasa berkenaan dianggotai oleh Kementerian Luar, Kementerian Kewangan, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), MITI serta lain-lain kementerian, agensi atau organisasi berkaitan.

“Selepas selesai penilaian, syarikat tempatan yang terlibat akan dimaklumkan sama ada permohonan mereka diterima atau ditolak.

“Dalam proses penilaian MoU tersebut, terdapat juga beberapa mou yang ditolak oleh Jawatankuasa Penilaian MoU disebabkan tidak memenuhi kriteria atau projek di bawah MoU tersebut yang tidak membawa faedah ekonomi yang signifikan kepada negara,” jelasnya.

Beliau turut memperbetulkan fakta nilai sebenar komitmen pelaburan hasil MoU yang dimeterai semasa lawatan rasmi Perdana Menteri ke China adalah RM170.7 bilion.

Tengku Zafrul berkata, komponen pertama bernilai RM100.33 bilion adalah komitmen pelaburan daripada syarikat terkemuka China semasa sesi meja bulat yang dipengerusikan Perdana Menteri.

“Komponen kedua RM69.74 bilion yang merupakan komitmen pelaburan dan kerjasama ekonomi melibatkan 19 MOU perniagaan dengan perniagaan di negara ini antara syarikat Malaysia dan China,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Ada syarikat tandatangan MoU di China tapi tiada rekod – Johari