KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO mengingatkan semua pihak bahawa parti politik adalah platform untuk membantu rakyat.
Ketuanya, Dr Akmal Saleh berkata, kewujudan parti politik sepatutnya bukan untuk menyusahkan hidup mereka.
“Kini rakyat memerlukan pemimpin yang politiknya matang dan progresif tanpa meninggalkan prinsip perjuangannya demi agama, bangsa dan negara,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Ketika ini, UMNO menerima kritikan termasuk daripada akar umbinya sendiri berhubung kerjasama yang dijalinkan dengan Pakatan Harapan (PH) dan DAP bagi menghadapi pilihan raya di enam negeri.
Ramai yang bimbang langkah itu akan menyebabkan UMNO tergelincir daripada landasan perjuangannya yang asal untuk mempertahankan agama, bangsa dan tanah air.
Dr Akmal menambah, semua parti politik di negara ini pernah duduk bersama kerana itu adalah dinamik politik yang berlaku.
“Dengan siapa pun kita bersama, tugas Pemuda UMNO adalah untuk memastikan garis sempadan sesama parti tidak dilanggari.
“Dan jika dilanggari sama ada secara sengaja ataupun tidak, kami tidak akan berkompromi untuk mempertahankannya,” tegasnya. – MalaysiaGazette
by by umno tiada lagi untuk mu semua sudah tergadai.. nak bantu apa kalau sekadar cakap kami pun boleh tanya pada diri siapa yang kaya…?