Netflix

KUALA LUMPUR- Pelanggan Netflix di Malaysia sekarang perlu membayar langganan sebanyak RM13 bagi setiap pengguna yang berkongsi kata laluan dengan pengguna yang tinggal di kediaman berbeza.

Peraturan itu sebelum ini dilaksanakan di sesetengah negara Amerika Latin tetapi ketika ini telah diperluaskan ke lebih 100 negara termasuk Malaysia dan Amerika Syarikat.

Netflix turut menetapkan, jumlah slot bagi pengguna tambahan di bawah Netflix Household adalah terhad mengikut kategori akaun iaitu hanya seorang bagi pelan standard dan maksimum dua orang bagi pelan premium.

Katanya, pengguna tambahan boleh menonton Netflix dengan kualiti yang sama dengan pemilik akaun tetapi mereka hanya dibenarkan menggunakan satu peranti sahaja pada satu-satu masa.

Pengguna tambahan juga akan mendapat profil sendiri dan boleh menentukan tahap umur tayangan namun tidak dibenarkan untuk memilih profil kanak-kanak.

Tambah syarikat itu, slot tambahan hanya boleh diaktifkan dalam negara yang sama dengan pemilik akaun.

Selain itu, hanya pemilik akaun yang membuat pembayaran langsung kepada Netflix sahaja dibenarkan untuk menambah slot dan pembayaran bagi pengguna tambahan adalah di bawah tanggung jawab pemilik akaun.

Pemilik akaun yang membuat pembayaran melalui penyedia ketiga seperti Astro tidak dibenarkan menambah slot.

Bagi mengetahui langkah-langkah tetapan Netflix Household, pengguna boleh merujuk panduan di laman web Netflix.- MalaysiaGazette