Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

KUALA LUMPUR – Semua memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara syarikat Malaysia dan China baru-baru ini akan dinilai secara telus dan komprehensif oleh Jawatankuasa Penilaian MoU yang dianggotai oleh beberapa kementerian serta agensi berkaitan pelaburan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, kementerian yang terlibat iaitu Kementerian Kewangan (MoF) akan mengesahkan syarikat tersebut tidak disenarai hitam di bawah MoF, manakala Kementerian Luar akan meneliti implikasi MoU terhadap dasar luar negara Malaysia.

Beliau berkata, MITI pula akan menganalisa kekuatan kewangan syarikat tempatan yang terlibat dengan MoU.

Menurutnya, agensi berkaitan pelaburan seperti Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan mengambil kira impak atau faedah yang akan diperoleh melalui MoU terhadap aspek perdagangan negara.

“Dalam proses penilaian MoU, terdapat beberapa MoU telah ditolak oleh Jawatankuasa Penilaian MoU disebabkan tidak memenuhi kriteria MoU dan tidak membawa faedah ekonomi yang signifikan kepada negara,” katanya dalam akaun media sosial miliknya hari ini.

Tengku Zafrul berkata demikian susulan dakwaan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani di Dewan Rakyat bahawa terdapat beberapa syarikat yang menandatangani MoU dengan syarikat China hasil lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara itu baru-baru ini, tidak mempunyai rekod prestasi dan sama ada MITI atau Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) melakukan proses tapisan terhadap syarikat-syarikat tersebut.

Tengku Zafrul berkata, bukan semua komitmen pelaburan sebanyak RM170 bilion adalah daripada MoU.

Menurutnya ia terbahagi kepada dua komponen iaitu RM100.33 bilion komitmen pelaburan daripada syarikat terkemuka China semasa sesi meja bulat yang dipengerusikan oleh Anwar.

Beliau berkata, komponen kedua adalah RM69.74 bilion iaitu komitmen pelaburan dan kerjasama ekonomi melibatkan 19 MoU perniagaan kepada perniagaan antara syarikat Malaysia dan China.

Tengku Zafrul berkata, MoU yang telah dimeterai adalah transaksi perniagaan kepada perniagaan, justeru beliau berkata penilaian secara komprehensif perlu dilaksanakan.

“Ini kerjasama dengan syarikat asing dengan nilai projek yang mencecah bilion ringgit. Penilaian mesti dilakukan kerana kalau urusan perniagaan tersebut tidak jadi, yang rugi nanti syarikat kita, bukan kerajaan,” katanya. – Bernama