Kementerian Dalam Negeri (KDN) dilaporkan telah menghentikan operasi merampas jam tangan Swatch siri pelangi atau Pride.

PETALING JAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) dilaporkan telah menghentikan operasi merampas jam tangan Swatch siri pelangi atau Pride.

Seorang menteri memberitahu Sinchew Daily bahawa kementerian itu telah mengarahkan pasukan penguatkuasaannya untuk menghentikan operasi merampas dan menyita jam tangan tersebut.

Sumber daripada KDN pula memberitahu bahawa tindakan menyita jam tangan dilakukan berdasarkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Sumber itu turut mengesahkan bahawa operasi ke atas jam tangan Pride itu dijalankan di seluruh negara dan tindakan diambil selepas menerima aduan orang ramai.

Seorang jurucakap Swatch pula memberitahu Sinchew Daily bahawa KDN telah menyita 164 utas jam tangan Pride yang bernilai RM64,255 dari 16 cawangan kedai.

Menurut jurucakap itu, KDN telah mengunjungi cawangan di seluruh negara, kecuali cawangan IOI City Mall, pada hujung minggu lalu untuk menyita jam tangan berkenaan.

Beliau turut mengesahkan bahawa salah satu reka bentuk jam tangan siri Pride telah dicetak dengan perkataan “LGBT.”

Ditanya sama ada Swatch akan mengemukakan rayuan kepada KDN, jurucakap itu berkata, bahagian undang-undang sedang meneliti perkara itu.

KDN dilaporkan menyerbu 11 butik jam tangan jenama Swatch di beberapa negeri dan merampas koleksi bertemakan pelangi.

Serbuan selama dua hari pada 13 dan 14 Mei itu diadakan di butik di pusat membeli-belah seluruh negara.

Berdasarkan maklumat daripada laman web Swatch, jam siri pelangi mempunyai lima reka bentuk yang dijual antara RM387 hingga RM590. – MalaysiaGazette