Datuk Mohd Yusri Hassan Basri
Mohd Yusri Hassan Basri

IPOH – Polis menemukan mayat wanita warga emas di bilik tidurnya dalam keadaan separuh bogel di sebuah rumah di Kampung Tersusun dekat Simpang Lima, petang semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihak polis daerah Kerian telah ke lokasi kejadian dan menemukan mayat wanita  yang tinggal berseorangan itu dengan kesan darah pada bantal, tilam dan dinding biliknya.

“Terdapat kesan luka potong dan luka tikaman pada telinga, leher dan pipi mangsa yang berumur 61 tahun itu selain kesan lebam di lengan dipercayai berpunca daripada pergelutan bersama pelaku dalam usaha mempertahankan diri.

“Siasatan lanjut mendapati pelaku telah memecah masuk rumah mangsa berdasarkan kesan umpil pada tingkap nako dan tiga keping cermin ditanggalkan, bagaimanapun tiada barang berharga mangsa hilang,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Yusri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian.

“Hasil bedah siasat di Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan luka tikaman pada bahagian leher,” katanya.

Justeru, beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat menghubungi balai polis terdekat atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Daerah Kerian di talian 05-7212222. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast