Pengerusi KRPPM mengenai Pendanaan Politik, Wong Chen

KUALA LUMPUR – Kumpulan Rentas Parti Politik Parlimen Malaysia (KRPPM) menggesa kerajaan mewujudkan pembiayaan awam untuk parti politik sebagai langkah permulaan sebelum undang-undang pendanaan politik diwujudkan di negara ini.

Pengerusi KRPPM mengenai Pendanaan Politik, Wong Chen berkata, pembiayaan itu adalah langkah yang berkesan dalam menangani amalan rasuah yang berlaku terus kepada parti-parti politik tertentu.

“Kita ada draf undang-undang tapi tidak ada elemen pendanaan politik daripada kerajaan atau pembiayaan kewangan. Kalau kita benar-benar nak melawan isu rasuah di peringkat parti-parti, kita perlukan pembiayaan negara.

“Kalau kita tak buat pembiayaan politik, Datuk Seri, Tan Sri, Tun ini akan buat sumbangan (terus) kepada parti, ini menyukarkan untuk lawan rasuah di negara ini,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Dalam pada itu, pihaknya ingin membetulkan persepsi rakyat kononnya orang politik mempunyai dana yang mencukupi dan tidak memerlukan pembiayaan kewangan untuk menggerakkan parti masing-masing.

“Kumpulan saya telah berjumpa mesyuarat dua kali dan dua tiga minggu akan datang, ada dua lagi mesyuarat dan kita sudah mulakan projek ini.

“Kita bermula turun padang dengan melakukan town hall dengan rakyat, supaya kita boleh jelaskan kepada rakyat kenapa penting untuk membuat pembiayaan politik.

“Saya faham ramai pengundi ingat kita orang politik ini kaya dan dah cukup duit. Itu tidak benar,” katanya.

Jelasnya, pembiayaan politik sebenarnya salah satu elemen terpenting dalam amalan demokrasi dan ia diamalkan di negara moden di seluruh negara.

“Kalau kita nak standard Malaysia meningkat ke peringkat antarabangsa, Parlimen kita berfungsi dengan baik, kerajaan tadbir tanpa rasuah, saya rasa pembiayaan politik adalah elemen terpenting.

“Saya dengar dasar akan dimulakan, kita juga akan beri draf kita dan cadangan itu secepat mungkin. Kita sangat teruja dan berterima kasih kepada kerajaan kerana ambil masa dan beri jawapan yang jujur untuk melihat perkara ini dengan serius,” katanya.

Selain itu, KRPPM juga menggesa kerajaan melakukan libat urus mengenai pendanaan politik itu bersama pihaknya sebelum undang-undang berkenaan perkara itu dibentang ke Parlimen.

“Kita nak tanya bila (libat urus), kalau boleh kita cuba cepatkan, katakan bersidang pada akhir tahun, masa bajet, kalau boleh buat masa itu, kalau tidak selewat-lewatnya Mac tahun depan.

“RUU Persendirian yang kami hantar kepada Dewan Rakyat tahun lepas mengandungi beberapa saranan penting yang juga dibangkitkan wakil kami, Khoo Poay Tiong, contohnya pembiayaan awam untuk parti politik.

“Pembiayaan awam untuk parti politik boleh membantu menampung kos operasi parti politik dan membentuk sistem politik yang lebih saksama,” katanya.

KRPPM juga menyarankan penubuhan Suruhanjaya Pendanaan Politik sebagai badan pemantau bebas untuk mengawalselia proses pengisytiharan dana oleh parti-parti politik.

“Kumpulan kami amat berbesar hati untuk mengadakan pertemuan bersama Datuk Seri Azalina dalam masa yang terdekat bagi membincangkan perkara itu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast