Twitter Team LZJ.

KUALA LUMPUR – Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia akhirnya menamatkan teka-teki berhubung pelantikan jurulatih baharu apabila dia memilih Wong Tat Meng.

Tat Meng juga turut bertindak selaku Pengarah Kejurulatihan Pasukan LZJ (Team LZJ).

Perkembangan itu disahkan pengurus yang juga kakak kepada Zii Jia, Lee Zii Yii dalam satu kenyataan di laman Twitter Team LZJ.

“Zii Yii, berkata pemilihan Tat Meng dibuat berdasarkan pengalaman dimiliki jurulatih berkenaan yang pernah membimbing pasukan Malaysia, Indonesia, Scotland, Korea Selatan dan ketika ini, Hong Kong.

“Tat Meng akan memulakan tugasnya bersama Zii Jia sebaik proses perpindahannya dari Hong Kong ke Malaysia diselesaikan.

“Tugas terdekat buat Tat Meng adalah merangka program bagi membantu Zii Jia mencapai prestasi konsisten, melonjakkan kedudukan ranking dunia pemain berkenaan dan layak ke Sukan Olimpik Paris 2024,” katanya.

Kenyataan tersebut turut melaporkan bekas pemain profesional Daren Liew akan terus bersama barisan kejurulatihan LZJ bagi mengimbangi pasukan tersebut dengan kehadiran pemain berpengalaman.

Sementara itu, kehadiran Meng di samping Lee Zii Jia dilihat tepat pada masanya dalam usaha untuk membimbing pemain nombor 10 ranking dunia itu terutamanya dalam memburu pingat emas Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Apatah lagi Zii Jia sebelum ini dikritik hebat ketika menyatakan pendirian mahu bergerak sendiri tanpa bimbingan jurulatih.

Tat Meng sebelum ini berjaya menghidu bakat besar dimiliki permata berharga Korea Selatan, An Se Young sehingga menjadikannya sebagai pemain ranking ketiga dunia ketika di bawah bimbingannya.

Zii Jia yang kini berada di kedudukan ranking nombor lapan dunia bergerak tanpa khidmat jurulatih selepas dia berpisah dengan Indra Wijaya pada November tahun lalu. – MalaysiaGazette