Kenyataan media oleh Polis Johor hari ini.

JOHOR BAHRU – Polis Johor memberi amaran keras kepada penganjur pesta seks bebas “Gang Bang JB Party” agar membatalkan acara itu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat menerusi kenyataan medianya hari ini menegaskan, penganjuran acara seumpama itu menyalahi undang-undang dan boleh dikenakan tindakan tegas.

Katanya, kertas siasatan penganjuran program tidak bermoral itu sudah dibuka mengikut Seksyen 292 (E) Kanun Keseksaan, jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan penyebaran melalui media sosial, pihak polis akan membuat siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000.00 atau dipenjarakan tidak melebihi tempoh selama setahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Polis Johor akan membuat pemantauan berterusan terhadap penganjuran acara-acara yang menyalahi undang-undang dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang.

Kamarul Zaman turut menasihatkan orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mencetuskan kebimbangan atau menggugat ketenteraman awam.

Rabu laku tular sekeping poster melalui Twitter bertajuk “Gang Bang JB Party” yang mempromosikan pesta seks bebas.

Penganjuran pesta yang dijadualkan pada 20 Jun ini turut mendapat tentangan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid yang memberi jaminan acara sedemikian akan diharamkan berlaku di Johor. – MalaysiaGazette