Bersih Wong
Wong Chen

KUALA LUMPUR – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mempersoalkan keperluan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan amalan pentadbiran sebelumnya dengan membuat lantikan politik di syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Bersih berkata, lantikan politik yang terbaharu melibatkan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen dari PKR sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV).

“Walaupun kami memuji Wong mengehadkan peranannya untuk tidak mempengerusikan lembaga jawatankuasa untuk pengurusan risiko, gaji, audit, dan pembiayaan serta pelaburan untuk meminimumkan sebarang konflik kepentingan, kami tertanya-tanya sama ada negara kita kekurangan bakat sehingga Perdana Menteri terpaksa melantik Wong?” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Bersih menyatakan, pihaknya tidak mempersoalkan kelayakan Wong atau keupayaan beliau untuk mengetuai syarikat tersebut.

Bahkan, katanya, Wong terbukti seorang Ahli Parlimen yang berkeupayaan dan beliau juga telah dilantik untuk mempengerusikan Jawatankuasa Pilihan Khas Perhubungan Antarabangsa dan Perdagangan serta menjadi Pengerusi Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPM) Pendanaan Politik.

Menurut Bersih, pengumuman Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli supaya calon-calon berkelayakan memohon sebagai Pengarah Eksekutif untuk dua GLC di bawah kementerian beliau, Teraju dan Peneraju, perlu diteladani dan dikanunkan sebagai sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) dalam melantik lembaga GLC dan syarikat berkanun.

“Walaupun Wong Chen telah melalui penapisan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pelantikan ini seharusnya ditapis oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) dan wakil rakyat perlu dielakkan sebagai calon bagi jawatan dalam GLC, walaupun pengecualian boleh dibuat bagi badan berkanun utama yang memantau dan mengarahkan dasar kerajaan.

“Penapisan oleh JPKP akan memastikan hanya individu yang layak dilantik ke jawatan utama GLC dan badan berkanun kerana syarikat ini adalah penjaga kepada kekayaan awam, dan bukannya perniagaan swasta,” jelasnya.

Bersih memberitahu, Anwar perlu mengambil peluang untuk menamatkan lantikan politik yang berdasawarsa lamanya pada masa lalu sehingga menyebabkan korupsi dan salah urus dalam GLC.

“Jadikan proses lantikan ini terbuka dan telus agar rakyat Malaysia yang berkelayakan yang ingin berkhidmat untuk negara melalui GLC dan badan berkanun dapat memohon,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast