Gambar hiasan

PENYELESAIAN isu anak-anak berpanasan di sekolah sedang beredar dibangkitkan. Pelbagai cadangan dibidik ke tengah oleh ibu bapa, penjaga, pentadbir pendidikan dan sarjana berwibawa kononnya juga.

Terbanyak saranan itu berhimpun pada penyelesaian ‘mee segera’. Kata mereka, kelas-kelas pelajar perlu dilengkapi pendingin hawa, kipas perlu ditambah. Disinggung agar Kementerian Pendidikan memberikan biaya atau jika tiada berkenaan, pengurusan sekolah mengusahakan atau jika tak berupaya, PIBG harus tampil yang terdaya. Tiada satu perbantahan di pihak kami, inilah penyelesaian paling popular yang melambangkan betapa perwakilan ramai ‘caknawan’ pendidikan di tanah air kita.

Penulis mahu majukan saran berbeda. Seperti kemalangan mendengar tiada satu pun cadangan yang memperuntuk usaha panjang, mengambil waktu tetapi hasilnya lumayan dan lebih bermutu. Tidak ditemui saran mengambil segenap upaya dan jalan melebatkan laman sekolah dengan pohon-pohon hijau, jadi bumbung yang meneduhkan, tumpangan anak-anak sekolah, lindungan kepada kelas, penampan cuaca panas.

Bagaimana ini tidak diutarakan ke tengah daripada seluruh hulu balang pendidikan kita. Kononnya kita ambil berat masa kini anak-anak, tapi tidak pula sampai terfikir masa depan mereka di kejauhan.

Pendingin hawa tidak membantu langsung menyederhanakan suhu bumi, bahkan menajamkan lagi.

Mereka lebih sanggup menyumbat anak-anak dalam kotak kelas berpagar batu untuk menikmati pendingin hawa daripada mendamaikan anak-anak dengan tiupan hawa alam yang redup diramahi pohon-pohon.

Tiada sekolah yang benar-benar mahu menjadikan padang pembelajaran anak-anak laksana taman-taman botani selain seperti kilang-kilang, gersang dan kontang. Hal ini membarah kepada minda pentadbir pendidikan.

Malah, sebelumnya apabila timbul laporan kemalangan nyawa akibat strok haba melibatkan pelajar sekolah lebih heboh gesaan agar anak-anak dicutikan atau masa sekolah dipendekkan untuk lindungi mereka daripada ancaman cuaca panas.

Saya fikir munasabah untuk jangka pendek. Tetapi, bukan untuk waktu panjang. Sekolah seharusnya jadi tempat paling aman menyamankan. Sekolah sepatutnya terpaling meneduhkan.

Anak-anak dilatih, didedah tanggungjawab sebagai Khalifah memakmur alam. Bukankah itu tujuan asasi pendidikan sebagai dimensi pengutuhan insan. Guru/pentadbir harus lihat matlamat kemenjadian pelajar bukan pada skor A tetapi watak keinsanan yang ditempa.

Persekitaran sekolah jadi manifestasi ukuran keberhasilan produk pendidikan. Sekolah gondol, gersang, bak bangunan kilang kita rasanya masih belum capai maksud hakiki pendidikan.

Di beberapa sekolah kami lihat suasananya kontang, tiada pokok-pokok ditanam meredupkan halaman, sebagai teduhan kepada anak-anak dibangku pelajaran.

Adakah jika musim panas menyala berlarutan, anak-anak akan terus dicutikan? Kita wajib bersedia hadapi, cuaca ekstrem sebagai norma baharu. Pemanasan global kesan bumi diperah industrialisasi, urbanisasi, meruntuhkan banyak pohon dan hutan akan menjadi cuaca piawai.

Di sekolah lah tempat paling asas untuk menanam kesedaran bahawa anak kita ini bukan untuk diperah macam kilang belacan (rujuk Ungku Aziz), asalkan cukup syarat menjadi manusia ekonomi, cemerlang jasmani tanpa maknawi. Martabatkan alam raya adalah tanggungjawab asasi khalifah bumi.

Sebagai aktivis, kami lontarkan kepada guru dalam sebuah konvensyen melibatkan pelajar tingkatan enam seluruh negeri yang berkenaan. Tawaran kami menyediakan suatu template program dan bimbingan memandirikan. Sederhana, rencana gerak ‘bumi hijau’.

Setiap sekolah kenal pasti kawasan yang paling terdedah kepada haba matahari yang mana ia pula tempat teramai pelajar berhimpun. Di sana mereka menanam beberapa batang pohon yang kelak merendang. Contoh, dalam sekolah, blok bangunan yang menghadap matahari, yang paling langsung menerima pancaran maraknya. Di luar pagar sekolah terdapat kawasan tumpuan pelajar berkumpul, menunggu penjaga mereka datang menjemput pulang ke rumah. Di sana kita bumbungi dengan daun daripada pohon.

Kami sebagai aktivis akan menghimpun daya mendapatkan anak-anak pokok untuk dibekalkan. Sekadar itu kuatkuasa kami yang terbatas, tanpa turun tangan daripada pihak sekolah, cita-cita bumi yang ramah tiadalah terlaksana. Di mana patut kita bermula? Sekarang. Pepatah Cina menyebut ‘The best time to plant a tree was 20 years ago. The second best time is now”

Namun, kita belum mendengar ianya segera disambut, apatah lagi saranan bumihijau datang sendiri daripada sarjana paling autoritatif daripada ‘pemikir/sarjana pendidikan’sekalipun. Ini tidak menjadi sebagai pilihan popular selain memasang penghawa dingin semata.

Tidaklah suatu yang menghairankan kita dijangkiti penyakit shorttermism, melihat pendidikan hanya untuk diselesaikan mengejar kecemerlangan peperiksaan. Kononnya murid harus segera selesa, peperiksaan yang hampir bakal menjelma, cemerlang di kertas periksa adalah tujuan terutama. Tidak mengapa pun jika bakal jadi generasi strawberi yang cantik di luar tetapi rapuh dan rontok.

Saya ada anak-anak buah yang bila pulang ke kampung atuk dan nenek, mereka mengaduh mahu balik rumah. Desah mereka “ Mama… nak aircond…”. Sudah tidak tidak betah lagi daya tahan tubuhnya menghadapi alam raya. Bumi yang di mana mereka harus lalui sepanjang jasad hidup.

Apakah kita galakkan mereka dengan segala yang mudah-mudah dengan keculasan kita tidak menemui jalan terbaik untuk menyamankan alam sekolah mereka. Alangkah malang. Tiada pentadbir, pengkaji atau acah-acah pakar pendidikan yang nampak akan solusi ini. Tanam pokok mungkin pada mereka sangat tradisional. Atau sangat tidak efisien untuk selenggara daun-daun berguguran, kemungkinan dahan rapuh dan runtuh. Kejadian yang jika berlaku, sekali dalam beberapa kurun waktu, berbanding disalai mentari yang berkunjung telah hampir separuh tahun.

Walhasil, teruskanlah saran menghawadinginkan kelas dengan Daikin, Toshiba, Panasonic, dll selain pokok hujan-hujan (Albizia saman), semarak api (Delonix regia), jemerlang laut (Peltophorum pterocarpum), angsana (Pterocarpus indicus), tekoma (Tabebuaia rosea), rajah kayu (Cassia fistula), asam jawa (Tamarindus indica), kasai (Pometia pinnata) dan tembusu (Fagraea fragrans).

Suatu hari nanti anak-anak akan mengenal alam hanya pada nama mesin dan batu bata. Itulah universal man atau al-Insan al-Kulliy atau Insan adabi yang kita cita-citai, sangatlah lari daripada tujuan pendidikan yang haqiqi.

Daripada dimarahkan gelap, lebih baik dipasangkan pelita.

Daripada dikeluhkan panas, baiklah ditanamkan pohon, kita menumpang teduhannya.

Oleh: Muhamad Hanapi Jamaludin
Pengarah Pengasas Benevolent Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast