Halim Saad

KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan, Tan Sri Halim Saad menafikan laporan media beliau merupakan individu yang disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan penyelewengan RM2.3 bilion berkaitan pembelian saham syarikat tersenarai oleh sebuah konglomerat Malaysia 26 tahun lepas.

“SPRM tidak memanggil saya untuk disoal siasat mengenai isu itu,” kata Halim menurut laporan FMT.

Nama beliau dikaitkan dalam siasatan itu selepas SPRM mengesahkan sedang menyiasat seorang bekas menteri kanan dan seorang ahli perniagaan bergelar “Tan Sri” berhubung dakwaan penyelewengan dana negara.

Menurut sumber, SPRM mula menyiasat kedua-dua individu tersebut selepas nama mereka tersenarai dalam Pandora Papers sebagai mempunyai kaitan dengan tempat berlindung cukai luar pesisir.

Halim, yang kini terlibat dalam industri minyak dan gas (O&G) di luar negara,mengecam akhbar The Edge kerana mengaitkan dirinya dengan pemerolehan saham bernilai RM2.3 bilion.

Ia susulan laporan media itu yang mengesahkan sumber SPRM bahawa transaksi itu melibatkan pembelian 32.6% kepentingan atau 722.9 juta saham dalam Renong Bhd oleh United Engineers (M) Bhd (UEM) pada harga RM2.3 bilion pada November 1997, di tengah-tengah krisis kewangan Asia.

The Edge juga menerbitkan semula tiga artikelnya mengenai pemerolehan saham Renong UEM dari November 1997.

Halim berkata, artikel-artikel itu mencetuskan spekulasi tidak berasas mengenainya dan menimbulkan pertikaian mengenai peranannya dalam pembelian saham Renong oleh UEM.

Beliau itu beliau mencabar media berkenaan mengemukakan salah lakunya dalam urus niaga tersebut.

Halim merupakan individu penting dalam perkembangan empayar Renong. – MalaysiaGazette.