Kompleks Mahkamah Kuantan.

KUANTAN – Seorang ibu kandung dan bapa tiri dihadapkan di Mahkamah Seksyen  di sini hari ini kerana mendera dua beradik, masing-masing seorang lelaki dan perempuan awal tahun ini.

Kedua-dua suami isteri, Noor Aliff Redzuan Zakari, 29 tahun dan Nur Syafiqah Rosli, 28 tahun menghadapi dua pertuduhan melakukan penganiayaan terhadap kanak-kanak itu  pada bulan Januari 2023 di Perumahan Pandan Damai Bukit Rangin.

Mereka berdua didakwa melakukan penganiayaan terhadap kanak-kanak tersebut hingga menyebabkan kecederaan fizikal kepada dua orang anak kandung Syafiqah, masing-masing berusia lima dan enam tahun.

Kedua-dua tertuduh yang bernikah pada 22 September 2022 telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Bagi kesalahan itu, mereka boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya, Haryati Abdullah memohon mahkamah menetapkan wang jaminan sebanyak RM15,000 bersama penjamin bercagar dan syarat tambahan lain.

Bagaimanapun, peguam bela tertuduh, Mohamaed Hamizey Mat Taib memohon wang jaminan dikurangkan.

Katanya, tertuduh pertama merupakan suri rumah manakala tertuduh kedua seorang pemandu lori berpendapatan RM2,500 dan mempunyai tanggungan.

Hakim kemudian memutuskan wang jaminan dikurangkan kepada RM12,000 setiap seorang bersama penjamin bercagar dan menyerahkan pasport.

Mereka berdua juga perlu melaporkan diri ke Ibu Pejabat Polis Daearah Kuantan pada setiap bulan.

Hakim Mohamed Mokhzani Mokhtar turut meletakkan hukuman tambahan agar kedua-dua melakukan perkhidmatan masyarakat selama 240 jam dalam tempoh enam bulan.

Mahkamah kemudian menetapkan 4 Julai 2023 hadapan untuk serahan dokumen kes. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast