KUALA LUMPUR – Perdana Menteri enggan mengulas pendedahan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kononnya ada bekas pemimpin UMNO bakal menyertai Perikatan Nasional (PN).
Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia tidak ada kena mengena dengannya.
“Isu Azmin, UMNO dan PN dan saya tiada kena mengena dengan saya sekali,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Muzakarah Ulama-Umara sempena Festival Turath Islam Selangor 2023 di sini hari ini.
Sebelum itu, Mohamed Azmin yang juga Ketua Penerangan PN mengesahkan terdapat lapan bekas pimpinan UMNO menyertai gabungan tersebut.
Beliau yang juga Pengerusi PN Selangor bagaimanapun enggan mengumumkan nama pemimpin tersebut atas faktor keselamatan.
“Kerajaan ketika ini ialah kerajaan yang mengugut. Kalau mereka dapat tahu, dia akan ugut dan akan tekan. Ini satu perkara yang tidak baik.
“Jadi, sabar kerana ia akan diumumkan tidak lama lagi, mungkin selepas Hari Raya Aidiladha,” katanya kepada pemberita semasa Majlis Rumah Terbuka PN Selangor di Shah Alam, pada Ahad lalu. – MalaysiaGazette