KUALA LUMPUR – Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini mencadangkan supaya Syamsul Yusof dan Puteri Sarah menyelesaikan terlebih dahulu isu lafaz cerai dua kali yang didakwa diungkapkan oleh pengarah filem “Mat Kilau” itu terhadap isteri pertamanya.
Peguam Syarie Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin berkata Hakim Syarie Akmalluddin Ilyas perlu mengetahui lafaz cerai dan taklik yang dibangkitkan anak guamnya dalam laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) sah atau tidak.
Lafaz cerai taklik ialah lafaz cerai yang dilafaz suami dengan meletakkan syarat taklik dan jika isteri melanggar syarat itu, maka boleh menyebabkan jatuh talak.
Menurut Akberdin, di dalam laporan JKP, pengerusinya menyatakan bahawa terdapat isu lafaz cerai dua kali dan untuk itu mahkamah perlu mengesahkan sama ada ia talak satu atau dua.
“Oleh itu, mahkamah menetapkan 14 Jun ini untuk pihak-pihak berbincang siapa yang perlu memfailkan permohonan untuk mengesahkan penceraian di luar mahkamah itu,” kata Akberdin kepada pemberita selepas prosiding penceraian kes pasangan itu.
Hari ini ditetapkan sebagai tarikh untuk memanggil Pengerusi JKP bagi memberi penjelasan berhubung prosiding JKP yang dijalankan.
Mengenai laporan JKP, Akberdin berkata mahkamah berpuas hati bahawa perkahwinan pasangan selebriti itu tidak dapat diselamatkan.
“Namun, sebelum pihak-pihak meneruskan dengan proses hakam, isu lafaz cerai yang dinyatakan dalam laporan JKP itu perlu diselesaikan terlebih dahulu,” katanya.
Sementara itu, peguam Syarie Azmi Mohd Rais yang mewakili Syamsul atau nama sebenarnya Mohd Shamsul Md Yusof berkata anak guamnya tidak tahu mengenai lafaz cerai dua kali seperti yang didakwa Puteri Sarah.
“Prosedur JKP itu dijalankan secara berasingan dan pihak-pihak (Syamsul dan Puteri Sarah) tidak bersemuka antara satu sama lain. Anak guam saya tidak tahu mengenai lafaz cerai itu dan tidak dapat menjawabnya dalam prosiding JKP berkenaan.
Oleh kerana Puteri Sarah yang bangkitkan ‘cerita’ itu dalam JKP, jadi beliaulah yang kena fail pengesahan lafaz cerai dua kali itu,” kata Azmi.
Pada 18 April lalu, Syamsul, 39, dan Puteri Sarah, 38, gagal mencapai persetujuan untuk berpisah secara baik selepas tidak mencapai terma penyelesaian.
Puteri Sarah memfailkan permohonan cerai terhadap Syamsul pada 16 Jan lepas atas alasan mereka tidak ada persefahaman dan berlaku shiqaq berpanjangan serta tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri mengikut hukum syarak.
Pasangan itu yang berkahwin pada 8 Mac 2014 dikurniakan dua anak, Shaikul Islam, 6, dan Sumayyah, 4.
Pada 6 Jan lepas, Syamsul mendedahkan beliau sudah bernikah dengan Ira Kazar atau nama sebenarnya Faghira Fatini Kazaruddin dalam video yang dikongsi menerusi Instagram.- BERNAMA