Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Dua lelaki ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kes penemuan seorang lelaki maut dengan empat kesan tembakan berhampiran Balai Polis Sungai Jarom di Kuala Langat, Selangor 18 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, kedua-dua lelaki tempatan yang berusia 19 dan 32 tahun berkenaan ditahan di sekitar pekan Banting pada petang Selasa lalu.

“Tangkapan terhadap mereka dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat. Kedua-dua suspek telah ditahan reman selama tiga hari sejak Selasa lalu sehingga esok bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Ridhwan berkata, pihaknya sedang mengesan dua lagi individu bagi membantu siasatan kes bunuh itu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya kepada bilik gerakan IPD Kuala Langat di talian 03-31872222.

Pada 18 Mei lalu, mangsa warga tempatan berusia 39 tahun ditemui dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah dengan kesan empat tembakan di kepala.

Unit Forensik Kontinjen Selangor yang hadir ke lokasi menemui lima kelongsong peluru di tempat kejadian.

Siasatan polis turut mendapati mangsa mempunyai 13 rekod lampau pelbagai kesalahan. – MalaysiaGazette