Clare Nowland

NEW SOUTH WALES – Wanita warga emas berusia 95 tahun yang dikenakan renjatan oleh polis di sebuah rumah jagaan di Australia hingga mencetuskan kemarahan orang ramai meninggal dunia.

Clare Nowland cedera parah susulan kejadian itu.

Polis dipanggil ke rumah jagaan itu Rabu lalu selepas dia berjalan di sekitar kawasan pusat itu dengan memegang pisau.

Polis New South Wales memaklumkan, Nowland meninggal dunia di hadapan ahli keluarganya.

Anggota polis yang melakukan renjatan ke atas mangsa telah didakwa dengan pertuduhan melakukan serangan.

Konstabel berusia 33 tahun itu akan dihadapkan ke mahkamah pada awal Julai atas tuduhan secara melulu menyebabkan kecederaan parah ke atas mangsa.

Dia kekal digantung tugas sementara siasatan diteruskan.

Nowland tinggal di sebuah rumah jagaan di bandar Cooma kira-kira 114km (71 batu) di selatan Canberra, ibu kota Australia.

Minggu lalu, polis memaklumkan mangsa yang “bersenjata” pisau berkeliaran di pusat tersebut.

Tetapi, akhirnya polis mengesahkan Nowland memerlukan alat bantuan untuk bergerak.

Malah, polis turut mengesahkan renjatan itu dilepaskan ke arah mangsa ketika mula bergerak dengan perlahan.

Akibat direnjat, Nowland dipercayai mengalami keretakan tengkorak dan pendarahan otak yang serius selepas terjatuh. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast