Tiga jilid buku Set Jejak Nabi Muhhamad SAW karangan Tan Sri Dato' Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang untuk dibaca oleh pencinta Nabi SAW.

KUALA LUMPUR – Yayasan Permata Ummah dan Pustaka Permata Ummah akan mengadakan Majlis Pelancaran Buku Jejak Nabi Muhammad SAW dan Syarahan Perdana Tan Sri Abdul Hadi Awang Pusat di Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur esok.

Ia diadakan sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023.

Pengerusi, Yayasan Permata Ummah, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, pada majlis sama, Presiden Pas akan turut melancarkan karya terbaharu beliau berjudul Fiqh Al-Harakah Daripada Sirah Nabawiah.

Menurut beliau, ia merupakan salah satu karya besar yang disusun oleh Abdul Hadi dalam menanamkan kefahaman yang jelas dan betul terhadap sirah nabawiah khususnya dari perspektif politik kenegaraan dan pentadbiran.

“Apa yang menariknya, karya ini ditulis berdasarkan pengamatan daripada pasang surut pengalaman dan pembacaan sepanjang berada dalam dunia gerakan Islam.

“Penglibatan penulis dalam arena politik khususnya sama ada di peringkat antarabangsa dan nasional menjadikan beliau sangat tajam dengan tanggungjawab memelihara dan membangunkan umat Islam seluruhnya.

“Bahkan buku ini akan diulas oleh tokoh-tokoh masyarakat, ahli politik, pentadbir kerajaan, pendidik dan anak muda bagi merakyatkan pemikiran Tuan Guru dalam kalangan masyarakat untuk melihat sisi pandang Rasulullah SAW sebagai seorang utusan Allah, ketua negara dan panglima perang,” katanya dalam satu kenyataan.

Muhammad Khalil menambah, lebih istimewa, karya ini didatangkan dengan set Jejak Nabi Muhammad SAW yang disempurnakan dengan catatan silang rujuk pada setiap hadis, kisah, dan peristiwa.

Di samping itu, katanya, penyusunan kandungan yang kemas dan tersusun serta tawaran harga yang berpatutan sesuai untuk semua lapisan usia masyarakat..

“Selain itu, akan dilancarkan juga karya terkini Tafsir al-Tibyan Surah al-Fatihah yang merupakan permulaan ke arah menerbitkan secara sempurna Tafsir al-Tibyan 30 Juzu.

“Penerbitan karya ini juga diharapkan akan menghidupkan khazanah ilmu tafsir dalam masyarakat dan mendekatkan mereka dengan kehidupan bersama al-Quran. – MalaysiaGazette