Lelaki warga asing yang ditahan dalam satu operasi khas oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya kerana dipercayai menjalankan sindiket perkhidmatan 'seks songsang'. Foto: Jabatan Imigresen Malaysia

KUALA LUMPUR – Seramai enam lelaki warga asing ditahan dalam satu operasi khas kerana dipercayai menjalankan perkhidmatan ‘seks songsang’ di ibu kota.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, kesemua suspek ditahan pada Selasa lepas oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

Katanya, pasukan operasi telah menyerbu premis dua tingkat dan menahan kesemua suspek yang bekerja sebagai tukang urut serta penjaga premis.

“Selain khidmat urutan kepada lelaki, mereka juga menyediakan perkhidmatan seks songsang kepada pelanggan lelaki. Turut berada di premis semasa serbuan ialah beberapa orang pelanggan warga tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ruslin, warga asing terbabit terdiri daripada lima warganegara Indonesia dan seorang warganegara Myanmar berusia diantara 26 hingga 38 tahun.

Ujarnya, salah seorang lelaki Indonesia tersebut merupakan penjaga premis atau pun dikenali Daddy kepada semua tukang urut.

“Pemeriksaan awal mendapati mereka melakukan pelbagai kesalahan seperti tidak memiliki dokumen perjalanan, Pas
Lawatan Sosial (PLS) tamat tempoh dan ada yang menyalahgunakan pas.

“Sindiket ini beroperasi di premis perniagaan dua tingkat dengan menjadikan tingkat satu sebagai pusat urut dan tingkat dua sebagai tempat tinggal,” tambahnya.

Jelas beliau, sindiket itu dipercayai telah mula beroperasi sejak tahun lepas dan modus operandi sindiket berkenaan ialah mengiklankan pakej urutan khas untuk lelaki di kumpulan laman sosial, kumpulan WhatsApp dan kumpulan Telegram.

Katanya, pelanggan yang berminat akan menghubungi nombor telefon yang dinyatakan dan akan dikongsikan gambar-gambar seksi tukang urut lelaki bagi membuat pilihan tukang urut serta pilihan pakej khas urutan.

Penjaga premis atau pun Daddy pula, katanya, akan memberikan lokasi pandu arah kepada pelanggan.

“Bayaran bagi mendapatkan perkhidmatan urut adalah RM200 hingga RM300 untuk tempoh satu jam bergantung kepada ‘pakej’ yang dipilih oleh pelanggan.

“Sindiket ini dipercayai telah mengaut keuntungan sebanyak hampir RM650,000 hasil daripada perkhidmatan urut dan seks songsang,” katanya.

Ruslin menegaskan, kesemua lelaki warga asing terbabit dibawa ke Depot Imigresen Putrajaya untuk tindakan dan siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Manakala tujuh lagi lelaki tempatan dikenakan notis untuk hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Mereka adalah pelanggan yang berada di dalam premis pusat urut tersebut semasa serbuan dilakukan, katanya. – MalaysiaGazette