KUALA LUMPUR – Harga eksport Malaysia pada April 2023, merekodkan penurunan 0.5 peratus daripada 142.6 mata pada bulan sebelumnya kepada 141.9 mata.

Sementara itu, indeks nilai seunit import turut menyusut 0.8 peratus daripada 129.2 mata kepada 128.2 mata.

Berikutan itu, terma perdagangan Malaysia menunjukkan kenaikan 0.3 peratus bulan ke bulan kepada 110.7 mata pada April 2023 didorong oleh kenaikan indeks alat jentera & kelengkapan pengangkutan (+3.9%), bahan mentah tidak boleh dimakan (+1.3%) dan makanan (+0.3%).

Terma perdagangan Malaysia menyusut 0.2 peratus tahun ke tahun daripada 110.9 mata pada April tahun lalu.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, indeks nilai seunit eksport menurun 0.5 peratus pada April 2023 berbanding bulan sebelumnya, disumbangkan oleh kejatuhan indeks
minyak galian (-4.3%), barang-barang keluaran kilang (-0.3%) dan minyak & lemak binatang & sayur-sayuran (-0.3%).

Selain itu, indeks volum eksport merosot 18.3 peratus pada bulan yang sama, selaras dengan penurunan indeks pelbagai barang keluaran kilang (-29.3%), minyak galian (-16.6%) dan alat jentera & kelengkapan
pengangkutan (-16.2%).

Indeks volum eksport pelarasan bermusim merosot 17.2 peratus daripada 165.1 mata kepada 136.6 mata.

Merujuk kepada perbandingan tahunan, indeks nilai seunit eksport menyusut 0.8 peratus, manakala indeks volum merosot 16.7 peratus.

Indeks nilai seunit import turut menurun pada April 2023 dengan 0.8 peratus, disumbangkan oleh kejatuhan indeks alat jentera & kelengkapan pengangkutan (-2.5%), bahan kimia (-0.3%) dan barang-barang keluaran kilang (-0.1%).

Indeks volum import menunjukkan penyusutan 9.4 peratus pada April 2023 berbanding bulan sebelum, disumbangkan oleh penurunan indeks pelbagai barang keluaran kilang (-19.2%), barang-
barang keluaran kilang (-9.7%) dan alat jentera & kelengkapan pengangkutan (-8.1%).

Indeks volum import pelarasan bermusim menyusut 10.3 peratus daripada 175.6 mata kepada 157.5 mata. Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan indeks nilai seunit import
jatuh 0.6 peratus, manakala indeks volum merosot 10.4 peratus. – MalaysiaGazette