KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengguna (IHP yang mengukur inflasi bulan April 2023 meningkat dengan kadar perlahan kepada 3.3 peratus dengan mata indeks mencatatkan 130.0 berbanding 125.9 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Jabatan Perangkaan Malaysia berkata, kenaikan inflasi di Malaysia kekal didorong oleh restoran & hotel (6.6%) dan makanan & minuman bukan alkohol (6.3%) lebih perlahan bagi kumpulan pengangkutan iaitu 2.3 peratus berbanding Mac 2023 (2.4%) sedikit sebanyak telah mengimbangi inflasi Malaysia daripada terus meningkat lebih tinggi.

Wajaran bagi kumpulan makanan & minuman bukan alkohol (29.5%), pengangkutan (14.6%) dan restoran & hotel (2.9%) yang meliputi 47.0 peratus daripada wajaran keseluruhan IHP turut memberi impak ketara kepada kadar inflasi dan kos sara hidup.

Selain itu, kenaikan inflasi di Malaysia pada April 2023 turut didorong oleh peningkatan bagi kumpulan hiasan, perkakasan & penyelenggaraan isi rumah (3.0%); pelbagai barangan & perkhidmatan (2.5%); kesihatan (2.1%) dan perkhidmatan rekreasi & kebudayaan (1.8%).

Perumahan, air, elektrik, aas & bahan api lain dan pendidikan masing-masing merekodkan kenaikan 1.6 peratus, manakala kedua-dua minuman alkohol & tembakau dan pakaian & kasut pula masing-masing meningkat sebanyak 0.6 peratus dan 0.5 peratus.

Kumpulan makanan & minuman bukan alkohol menyumbang 29.5 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP telah merekodkan peningkatan sederhana iaitu 6.3 peratus (Mac 2023: 6.9%).

Daripada 230 item makanan & minuman, 84.3 peratus telah merekodkan kenaikan harga berbanding April 2022.

Komponen makanan di rumah menyederhana kepada 5.0 peratus pada April 2023 berbanding 5.6 peratus yang direkodkan bulan sebelumnya.

Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) yang bermula pada 15 hingga 30 April 2023 selama 16 hari sedikit sebanyak telah meredakan inflasi komponen ini dari terus meningkat.

Seiring dengan kenaikan sederhana komponen makan di rumah, komponen makanan di luar rumah turut mencatatkan kenaikan yang lebih rendah kepada 8.1 peratus berbanding
Mac 2023 (8.6%).

Menu Rahmah yang telah diperkenalkan oleh kerajaan sedikit sebanyak meredakan inflasi makanan di luar rumah daripada terus meningkat lebih tinggi.

Menu Rahmah menawarkan makanan siap masak pada harga RM5 dan ke bawah.

Antara Makanan di luar rumah yang mencatatkan peningkatan lebih perlahan pada bulan ini adalah roti canai, nasi campur, masakan berasaskan mi, nasi goreng
dan masakan berasaskan sayur.

Kenaikan komponen makan di rumah adalah didorong terutamanya oleh kenaikan subkumpulan daging (9.2%); susu, keju & telur (7.0%); beras, roti & bijirin lain (6.4%) dan buah-buahan (5.1%).

Kedua-dua subkumpulan gula, jem, madu, coklat & manisan dan ikan & makanan laut masing-masing meningkat sebanyak 3.5 peratus dan 3.1 peratus manakala subkumpulan sayur-sayuran menunjukkan peningkatan yang lebih rendah kepada 0.7 peratus.

Selain itu, minyak & lemak terus menurun kepada negatif 0.4 peratus, sementara subkumpulan daging yang merangkumi daging ayam, lembu, babi, kambing, kerbau dan itik mencatatkan peningkatan 9.2 peratus, kadar yang sama seperti yang direkodkan pada Mac 2023.

Ayam yang merupakan komponen terbesar dalam subkumpulan ini (46.1%) telah meningkat kepada 8.8 peratus berbanding 8.7 peratus pada bulan sebelumnya.

Purata harga Ayam standard di peringkat Malaysia pada bulan April 2023 meningkat kepada RM10.45 sekilogram berbanding RM9.50 pada April 2022 (Mac 2023: RM10.40).

Sementara itu, purata harga di Semenanjung Malaysia adalah sebanyak RM9.91 sekilogram berbanding RM8.97 sekilogram pada April 2022 (Mac 2023: RM9.86), melebihi paras harga kawalan yang ditetapkan oleh kerajaan iaitu RM9.40 sekilogram.

Selain itu, peningkatan pada subkumpulan ini turut didorong oleh peningkatan daging babi (30.1%) dan itik (8.2%).

Secara bulan ke bulan, daging segar meningkat lebih rendah kepada 0.4 peratus berbanding 0.5 peratus yang direkodkan pada Mac 2023, disumbangkan oleh daging babi (0.7%), diikuti oleh ayam dan lembu masing-masing meningkat sebanyak 0.4 peratus dan 0.2 peratus. – MalaysiaGazette