PTPTN
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penangguhan yang bakal memberi manfaat kepada hampir 1.5 juta peminjam itu berkuatkuasa serta-merta sehingga 30 September ini.-Gambar Hiasan.

KUALA LUMPUR – Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) masih berpeluang menikmati insentif diskaun bayaran balik sehingga 31 Mei ini.

Antara insentif pembayaran semula untuk peminjam yang telah diumum menerusi Bajet 2023 baru-baru ini ialah diskaun 20 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh dan diskaun 15 peratus bagi sekurang-kurangnya separuh jumlah pinjaman.

Ketua Eksekutifnya Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, diskaun 15 peratus untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau debit terus mengikut jadual bayaran balik dan diskaun 5 peratus untuk bayaran balik melalui aplikasi myPTPTN.

Menurut beliau, pelbagai saluran bayaran balik disediakan bagi memudahkan peminjam termasuklah secara dalam talian menerusi aplikasi myPTPTN yang lebih mudah, cepat dan selamat.

“Selain itu, bagi membantu para peminjam yang berhasrat untuk merebut peluang insentif diskaun bayaran balik ini, PTPTN turut membuka kaunter khas di lokasi terpilih seluruh Malaysia. Peminjam boleh merujuk portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my untuk maklumat lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini.

Dalam pada itu, Ahmad Dasuki merakamkan penghargaan terhadap komitmen peminjam untuk membuat pembayaran balik demi kelangsungan generasi akan datang.

“Dengan pelbagai usaha dan pendekatan mesra yang dilaksanakan oleh PTPTN, diharapkan para peminjam mengambil peluang untuk membuat bayaran balik dan tampil berbincang dengan PTPTN sekiranya terdapat sebarang kemusykilan kerana PTPTN sedia membantu,” tambah beliau. – MalaysiaGazette