Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengaminkan doa yang dibacakan oleh Mohd. Hafiz Hussain selepas selesai solat Jumaat.

KLANG – Khutbah Jumaat di Selangor hari ini menegaskan titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj melarang penganut bukan Islam daripada menggunakan kalimah Allah di negeri tersebut.

Sebagai Ketua Agama Islam bagi Selangor, baginda telah melarang penganut Kristian daripada menggunakan kalimah Allah dalam apa-apa percetakan buku penerbitan Kristian di Selangor.

Dalam khutbah bertajuk Kesucian kalimah Allah Yang Maha Agung Sultan Sharafuddin menegaskan, kalimah Allah juga tidak boleh digunakan dalam Bible terjemahan bahasa Melayu.

“Titah baginda berpandukan kepada keputusan Jawatankuasa Fatwa bagi Negeri Selangor mengenai tuntutan penganut Kristian terhadap penggunaan kalimah Allah yang diwartakan pada 18 Februari 2010,” kata Imam Masjid An Naim di Kampung Jalan Kebun, Mohd. Hafiz Hussain.

Beliau membacakan khutbah yang disediakan oleh Jabatan Agama Islam Selangor di hadapan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang hadir untuk bersolat Jumaat bersama penduduk di sini hari ini.

Khutbah itu menekankan, menjadi kesalahan kepada penganut bukan Islam menggunakan kalimah Allah di bawah Enakman Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) Tahun 1988.

“Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menegaskan dalam titahnya, bahawa tuanku sentiasa menekankan agar rakyat menghormati kepercayaan agama masing-masing dan tidak cuba untuk menyentuh sensitiviti agama lain yang boleh merosakkan perpaduan kaum di Negeri Selangor ini.

“Jika umat Islam boleh menghormati penganut agama lain dengan tidak mencampuri urusan berkaitan agama mereka maka tuanku juga menggesa agar penganut agama selain dari Islam untuk menghormati penganut agama Islam khususnya dalam penggunaan kalimah Allah yang menjadi pegangan utama umat Islam,” katanya.

Isi khutbah mengenai larangan itu disampaikan berikutan isu penggunaan kalimah Allah baru-baru ini.

Pada 15 Mei lalu media melaporkan, Kerajaan Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah, Baitullah, Kaabah dan solat dalam penerbitan bahan agama Kristian bagi tujuan pembelajaran.

Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman berkenaan difailkan Pejabat Peguam Negara pada 18 April lalu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya.

Sementara Perdana Menteri dilaporkan menafikan dakwaan Putrajaya tidak merujuk Majlis Raja-Raja Melayu sebelum menarik balik rayuan terhadap keputusan mengenai hak seorang penganut Kristian dari Sarawak menggunakan kalimah “Allah” dalam pembelajaran agamanya.

Anwar berkata, perkara itu dirujuk kepada Yang di-Pertuan Agong, yang kemudian meminta kerajaan memastikan semua harus terikat dengan keputusan Majlis Raja-Raja, iaitu kalimah “Allah” tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam di Semenanjung, namun kelonggaran diberikan bagi Sabah dan Sarawak.-MalaysiaGazette