KUALA LUMPUR – Semua pemimpin parti komponen Kerajaan Perpaduan di Pulau Pinang diharap dapat bekerja keras untuk mengalahkkan Perikatan Nasional (PN) di negeri itu.
Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri Pulau Pinang seharusnya tidak mengambil mudah dalam menghadapi pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.
“Saya harap dalam PRN negeri nanti, kita bukan sahaja dapat mempertahankan kerajaan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional tetapi kita boleh buat sesuatu di negeri lain, mengekal atau menambah kerusi.
“Saya percaya selagi kita terus berusaha, kita akan berjaya. Kita bukan sahaja mahu akan Kerajaan Negeri tetapi sebuah Kerajaan Persekutuan yang stabil dan mampu buat kerja,” ciap beliau di Twitter.
Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berharap, pemimpin Kerajaan Perpaduan dapat membuktikan dakwaan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin bahawa parti itu mendapat 80 peratus sokongan hanyalah omong kosong.
“Sungguh pun Kerajaan Perpaduan sudah ditubuhkan, ada pihak tertentu yang masih enggan menerima hakikat. Ada yang cuba berkali-kali untuk menumbangkan atau menggantikan sebuah kerajaan yang absah yang telah diiktiraf oleh Agong dan diterima oleh rakyat Malaysia,” katanya.
Guan Eng menjangkakan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang akan dibubarkan ahir Jun ini dan hari pengundian dijangka akan berlangsung pada awal Ogos.
“Inilah masanya rakyat dari enam buah negeri ini harus menunjukkan apa yang dititah dan diputuskan oleh Yang di-Pertuan Agong demi membentuk sebuah kerajaan perpaduan adalah satu keputusan yang bijak yang membolehkan Malaysia dan rakyat mara terus ke hadapan,” tambahnya.
Guan Eng berkongsi beberapa gambar di media sosial berbual mesra dengan Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir.
Foto berkenaan diambil pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri DAP Pinang Pinang yang diadakan beberapa hari lalu.
Majlis itu terbuka kepada semua tanpa mengira latar belakang parti khususnya mereka yang dahulunya lawan tetapi kini sudah jadi kawan.
Turut hadir Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, Timbalan Ketua Menteri II, P. Ramasamy dan veteran DAP, Lim Kit Siang dan Pengerusi Amanah Pulau Pinang, Datuk Dr. Roslan Ahmad. – MalaysiaGazette