Yahaya Othman

KUANTAN – Gara-gara kemaruk mahu mendapatkan status Datuk Seri, seorang kontraktor kerugian RM571,000 akibat terpedaya dengan sindiket gelaran palsu di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman berkata, mangsa berusia 63 tahun itu telah melakukan sebanyak 32 transasksi ke dalam lima akaun bank yang berbeza berjumlah RM571,000 sejak Februari lalu.

Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Pahang telah menerima laporan berkenaan mangsa mengalami kerugian setelah terpedaya dengan tawaran gelaran itu.

“Mangsa menerima panggilan telefon daripada suspek yang menyamar sebagai Datuk Pengelola Bijaya Istana Pahang menawarkan anugerah kebesaran negeri Pahang dengan membawa gelaran Datuk Seri.

“Suspek menyatakan mempunyai enam kuota anugerah kebesaran tersebut dan mangsa dimaklumkan untuk membuat sumbangan untuk program-program istana tanpa apa-apa bayaran.

“Mangsa berminat dengan tawaran yang dinyatakan dan turut mempelawa empat orang kenalan bagi mendapatkan gelaran tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Yahaya, sehingga Mei 2023, suspek telah meminta mangsa melaksanakan beberapa sumbangan kepada pihak istana untuk program-program yang telah dibuat oleh pihak Istana Negeri Pahang.

“Kesemua transaksi mangsa melalui sumber kewangan adalah hasil dari kutipan dan wang simpanan rakan dan mangsa,” katanya.

Pihak Polis Kontinjen Pahang menasihatkan orang ramai yang menerima panggilan yang meragukan untuk segera membuat semakan dengan pihaknya atau agensi kerajaan berkenaan bagi mengelakkan dari menjadi mangsa penipuan.

Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima di pautan  https://semakmule.rmp. gov.my  terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast