PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu masjid dijadikan sebagai pusat pangkalan ibadah dan tempat penganjuran majlis ilmu.
Menurutnya, ia termasuk dalam menetapkan semua dasar pendidikan, ekonomi dengan semangat ihsan dan rahmah supaya benar-benar mengangkat martabat dan negara.
“Semangat nilai yang dipupuk akhlak yang ditekankan dan ihsan dan rahmah itu akan jadikan Malaysia ini negara yang berpaut kepada Islam dan cuba menyantuni semua sebagai kaum keluarga yang boleh secara aman mengangkat martabat darjat dan harakat,” katanya ketika menyampaikan ucapan aluan pada Majlis Ilmu Madani di Masjid Putra malam ini.
Terdahulu, Perdana Menteri yang memakai baju Melayu warna ungu tiba pukul 7.20 untuk menghadiri majlis berkenaan dan terus menunaikan solat fardhu Maghrib.
Majlis agama tersebut diisi dengan beberapa program utama antaranya bacaan maulid dan perkongsian khas oleh beberapa tokoh ulama terkemuka.
Antara figura penting yang ditampilkan malam ini termasuklah Mantan Mufti Agung Mesir, Prof. Dr. Ali Jum’ah dan Pengasas Darul Musthafa, Tarim, Yaman, Al Habib Umar Hafidz.
Lebih 18,000 umat Islam menghadiri Majlis Ilmu MADANI Bersama Perdana Menteri di Masjid Putra di sini hari ini.
Kedua-dua mereka juga antara ulama yang telah berkongsi pandangan dan saranan menerusi Muzakarah Ulama-Umara sempena Festival Turath Islami Selangor semalam. – MalaysiaGazette