Anggota Jabatan Bomba Dan Penyelamat Kuala Selangor menggunakan teknik gali dan siram pada operasi pembersihan tapak pembuangan sampah haram di Jalan Kapar. Foto: Facebook Majlis Perbandaran Klang

KUALA LUMPUR – Lebih 70 peratus kerja-kerja pembersihan tapak sampah haram di Batu 14, Kapar berjaya diselesaikan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Pihak berkuasa tempatan itu menerusi Facebook berkata, tapak yang melibatkan 11 pemilik tanah itu bersempadan dengan daerah Kuala Selangor.

Katanya, pada 18 Mei, satu operasi digerakkan selepas menerima aduan orang ramai bagi memadam kebakaran timbunan sampah yang dipercayai sisa plastik kitar semula dengan kerjasama Jabatan Bomba Dan Penyelamat (JBPM) Kuala Selangor.

“Tindakan yang diambil termasuk membersihkan timbunan sampah, menggali parit serta menutup laluan masuk dengan hadangan konkrit selain bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar Selangor mengenai tindakan perundangan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya.

MPK menjelaskan, pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut bekerjasama memasang kamera litar tertutup selain meningkatkan pengawasan menggunakan dron terutama di kawasan berdekatan tiang transmisi.

MPK turut mengingatkan pemilik tanah agar maklum tentang keadaan semasa tanah milik mereka dan tindakan perundangan boleh dikenakan jika pemilik gagal melapor sebarang aktiviti pelupusan sampah haram. – MalaysiaGazette