KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara enam bulan terhadap seorang tukang kimpal kerana membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik terhadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah menerusi Twitter miliknya, Disember tahun lepas.
Hakim Priscilla Hemamalini Nadarajan menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Masri Md Darus, 36, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan itu dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula hari ini.
Mohd Masri didakwa melakukan perbuatan itu menerusi aplikasi Twitter miliknya dengan menggunakan laman profil Twitter “@Muhammad65J” dengan niat untuk menyakiti hati orang lain pada 8.21 pagi, 22 Dis 2022.
Hantaran itu kemudian dibaca di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Wangsa Maju, di sini pada 5 petang, 3 Jan lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Ilya Ellyna Nor Azmal memohon hukuman setimpal mengambil kira faktor hantaran yang dimuat naik tertuduh bersifat jelik dan bahasa digunakan adalah tidak sopan.
“Pendakwaan memohon hukuman setimpal agar memberi pengajaran bukan sahaja kepada tertuduh, namun kepada masyarat juga agar lebih berhati-hati ketika memuat naik hantaran dalam media sosial,” katanya.
Mohd Masri yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan tidak berkemampuan dan perlu menjaga ibu yang telah uzur. – BERNAMA