Sultan Nazrin Muizzuddin Shah

KUALA LUMPUR – Pemahaman terhadap doktrin raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen berupaya menjadi ‘sauh’ dalam mewujudkan kerajaan yang stabil, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Baginda bertitah ia juga akan membantu mewujudkan sebuah kerajaan dengan budaya tadbir urus yang telus dan terpuji, seterusnya mendapat keyakinan, penerimaan serta sokongan rakyat.

“Doktrin raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen mengandungi semangat luhur yang perlu difahami. Doktrin itu jika difahami semangatnya, dihayati lalu diamalkan akan mewujudkan sistem pemerintahan yang saling mengimbangi dan sistem berkerajaan yang saling melengkapi,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian pada pelancaran buku ‘Kedaulatan Malaysia: Governan Utama Negara’, karya Pensyarah Undang-Undang Institut Antarabangsa Pemikiran Dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Datuk Prof Madya Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, di sini, hari ini.

Titah baginda, buku itu diterbitkan dengan tujuan memberi pencerahan maksud kedaulatan di sisi falsafah undang-undang di samping menghuraikan kedudukan Yang di-Pertuan Agong serta raja-raja sebagai tonggak kedaulatan Malaysia.

Baginda bertitah raja berperlembagaan berupaya dan bersedia memenuhi tanggungjawab dengan memenuhi peranan mekanisme semak dan imbang.

“Dengan hikmah dan kebijaksanaan, Raja-raja Melayu sebenarnya berada dalam kedudukan yang berupaya memenuhi peranan pelengkap untuk membantu mengukuhkan kerajaan yang dibentuk berlandaskan sistem demokrasi berparlimen.

“Demi kesejahteraan rakyat, demi kemakmuran negara, takhta, cabang legislatif, cabang eksekutif dan cabang kehakiman, wajib merangkaikan jalinan kerjasama dalam semangat saling melengkapi di samping memenuhi peranan semak dan imbang, untuk membangunkan sebuah negara Malaysia yang berdaulat, dan sebuah negara Malaysia yang mengamalkan tadbir urus yang terserlah,” titah baginda.  – BERNAMA