Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Abdul Hadi Awang mencabar Pakatan Harapan (PH) mengemukakan bukti jelas berhubung dakwaan menerima dana daripada syarikat perjudian dalam kempen Pilihan Raya Umum Ke-15.

Cabaran itu dibuat kerana Presiden Pas itu mendakwa PH banyak melemparkan tuduhan tidak berasas.

“Memang kita dengan Bersatu terbuka. Kita yakin parti Bersatu bersih dan berterus terang kepada kita. Tuduhan-tuduhan itu lebih kepada fitnah.

“(Tuduhan) bukan mengikut kaedah perundangan yang dituduh mesti dibuktikan. Kalau berani biar mereka buktikan, kita tidak mahu sekadar tuduhan kerana kita lihat PH ini banyak melemparkan tuduhan-tuduhan,” katanya ketika sidang media selepas melancarkan buku Jejak Nabi Muhammad SAW di Pusat Dagangan Dunia (WTC), KL.

Beliau turut mendakwa, kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim gemar melakukan tuduhan secara terpilih.

“Yang ada kes tidak diselesaikan, proses mahkamah dihentikan yang dibuat dicari baru, adakan baru.

“Apa yang dibuat, pertuduhan dibuat secara terpilih seperti Ahli Parlimen PKR Hassan Karim (Pasir Gudang) katakan dalam Dewan Rakyat,” jelasnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said baru-baru ini berkata, siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak dapat membuktikan dakwaan Perikatan Nasional menerima dana daripada syarikat perjudian untuk berkempen.

Walaubagaimanapun Azalina menafikan  siasatan berhubung dakwaan itu dihentikan dan digugurkan.- MalaysiaGazette