Suasana disekitar IWK Eco Park @ Pantai Dalam, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 26 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Taman sukan dan rekreasi IWK Eco Park di Pantai Dalam, di sini menawarkan pelbagai kemudahan dengan landskap hijau yang boleh dimanfaatkan penduduk sekitar.

IWK Eco Park merupakan kawasan seluas 12 hektar itu terletak kira-kira 10 kilometer dari pusat bandar.

Antara kemudahan ada ialah dewan komuniti serbaguna, bilik mesyuarat, kawasan untuk berkelah, trek joging dan trek berbasikal serta pelbagai kemudahan sukan lain.

Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Fadzil berkata, kemudahan yang terletak berdekatan dengan beberapa Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Pantai Dalam yang akan memberi manfaat kepada pelbagai golongan termasuk komuniti setempat.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil bersama Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendan Maniam pada majlis perasmian IWK Eco Park @ Pantai Dalam, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 26 MEI 2023.

“IWK Eco Park ini dibina di atas Loji Rawatan Kumbahan (LRK) yang termoden dan terbesar di rantau Asia Pasifik iaitu Loji Rawatan Kumbahan Serantau Pantai 2 IWK.

“Hari ini sebenarnya perasmian semula IWK Eco Park selepas diserahkan semula pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada pihak IWK untuk diselenggara.

“Setelah hampir tiga tahun, tempat ini telah ditambah baik dan kini dibuka semula untuk digunakan warga penduduk Lembah pantai termasuk ahli korporat,” katanya pada pemberita selepas merasmikan IWK Eco Park Pantai Dalam, di sini, malam tadi.

Fahmi berkata, taman ini juga sering dikunjunginya untuk melakukan aktiviti komuniti.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, meskipun taman ini dibina di atas loji, namun dengan penggunaan teknologi moden, ia tidak lagi tercemar dengan bau yang kurang selesa.

Suasana disekitar IWK Eco Park @ Pantai Dalam, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 26 MEI 2023.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam berkata, pihaknya memperuntukkan sebanyak RM2.5 juta untuk membaik pulih taman itu selepas diserahkan oleh DBKL pada 2017.

Tambah beliau, pelancaran taman itu merupakan peristiwa penting atas usaha penambahbaikan bagi keselesaaan pengunjung.

Beliau berkata, kemudahan awam berkenaan dibina di atas loji rawatan air kumbahan berpusat yang dikenali sebagai Loji Rawatan Kumbahan Serantau, Pantai 2.

“Loji serantau ini adalah loji rawatan kumbahan bawah tanah dan yang terbesar di rantau Asia Pasifik.

“Loji ini berupaya memproses air kumbahan daripada kira-kira 1.43 juta penduduk setara atau lebih tepat hampir sebahagian besar penduduk di kawasan Kuala lumpur dan sebahagian daripada Petaling Jaya,” katanya.

Katanya lagi, tanah keseluruhan untuk kompleks loji serantau Pantau 2 adalah seluas 17 hektar, iaitu merangkumi keluasan Eco Park yang seluas 12 hektar.

“Kami turut teruja untuk memaklumkan bahawa taman ini telah pun dibuka sepenuhnya kepada orang ramai bagi menikmati segala kemudahan yang disediakan.

“IWK Eco Park ini sedia memberikan ruang kepada orang awam, agensi kerajaan, syarikat swasta atau individu untuk berhubung antara satu sama lain.

“Kami turut komited dalam menjayakan konsep Malaysia Madani melalui penyediaan tapak perniagaan bagi memberi peluang kepada peniaga kecil menjana pendapatan di sini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Narendran memaklumkan taman itu boleh menampung lebih 700 pengunjung dan dibuka setiap hari bermula 10 pagi sehingga 10 malam. – MalaysiaGazette