Friday, April 26, 2024
Home Utama Kerajaan tiada pilihan, projek LCS perlu diteruskan

Kerajaan tiada pilihan, projek LCS perlu diteruskan

Kapal Tempur Pesisir (LCS1) yang masih dalam pembinaan sebanyak 60 peratus semasa lawatan media di Boustead Naval Shipyard (BNS), Lumut, Perak.- Gambar fail.
KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu mengambil alih syarikat yang bertanggungjawab terhadap projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) iaitu Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS) sebagai anak syarikat kepada Kementerian Kewangan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana terdapat projek-projek sudah berjalan yang perlu diselesaikan termasuk LCS.
“Kenyataan lengkap akan dikeluarkan kerana ada projek-projek yang sedang berlangsung dan mesti diselesaikan termasuk LCS.
“Kita tiada pilihan dan sudah belanja RM6 bilion, kita tak boleh tutup (menghentikan). Kita kena ambil alih (BNS) untuk menyelesaikan projek,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023 kali ke-40 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sin hari ini.
Semalam, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Kementerian Kewangan telah menubuhkan syarikat bertujuan khas (SPV) bagi mengambil alih syarikat yang BNS sebagai anak syarikat kepada kementerian itu.
Beliau bagaimanapun berkata, pelaksanaan projek LCS tetap akan dipantau melalui Jawatankuasa Pemantauan Projek (PMC) yang dipengerusikan bersama oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan (MINDEF).
Media sebelum ini melaporkan LCS pertama yang dijadual siap tahun depan, dijangka hanya mula beroperasi sekitar 2026 kerana perlu menjalani beberapa ujian dan penilaian terlebih dahulu.
Ini kerana menurut Mohamad, selepas pembinaan LCS itu siap dibina di limbungan, ia perlu menjalani dua ujian, iaitu ujian penilaian di pelabuhan dan ujian penilaian di laut, yang mengambil tempoh antara 22 hingga 24 bulan.
Isu berkenaan kapal perang berkenaan menjadi pendebatan hangat selepas Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) melaporkan terdapat elemen kelemahan dan penyelewengan dalam projek itu.
Pengerusi PAC ketika itu, Wong Kah Woh berkata, BNS tidak menggunakan sepenuhnya bayaran daripada kerajaan untuk projek tersebut. – MalaysiaGazette